Walau belum pernah miliki kenderaan sendiri, lelaki hadiahkan isteri kereta lepas 2 bulan hilang kerja


  • Cinta
  • Isnin, 17 Nov 2025

Pengorbanan seorang suami yang baru mendapat pekerjaan semula, membeli Perodua Bezza untuk isteri tercinta sebagai membalas jasa dan tanggungjawab. — Gambar hiasan/AI

KISAH pengorbanan dan kasih sayang seorang suami kepada isterinya selepas melalui tempoh getir kehilangan pekerjaan selama dua bulan, tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam perkongsian yang dimuat naik oleh Penasihat Jualan Kereta, Aiman Haneff di Threads, beliau menceritakan pengalaman menyentuh hati apabila bertemu dengan seorang pelanggan lelaki yang bertegas ingin membeli sebuah kereta model Bezza, semata-mata untuk kemudahan isteri tercinta.

Menurut Aiman, pertemuannya dengan pelanggan tersebut bermula agak tegang.

BACA LAGI: Pesakit buah pinggang kronik nekad genggam PhD, hajat Dr Noraida terlaksana lepas 12 tahun

BACA LAGI: Jimat bil elektrik, 7 tip pintar urus akuarium, terarium tanpa 'koyak' poket

"Berdasarkan kisah benar, hari itu ada seorang lelaki masuk bilik pameran. Muka masam, berjalan laju, tidak melihat kiri kanan. Saya sangka beliau marah atau tidak berminat langsung," tulis Aiman memulakan cerita.

Walaupun melihat riak wajah yang kurang mesra, Aiman menyambut pelanggan itu secara profesional.

"Saya sambut macam biasa, ‘Bang, nak tengok model apa?’ Beliau cuma menjawab pendek, ‘Bezza.’ Tidak senyum. Tidak memandang saya lama. Nada beliau pun agak berat," kongsinya.

Perasaan Aiman terdetik, "Dalam hati saya terfikir, ‘Eh, beliau okay ke ini atau beliau memang datang sekadar bertanya harga?’."

Namun, Aiman tetap melayan pelanggan itu dengan sabar dan profesional, yakin bahawa setiap yang datang dengan kisah mereka tersendiri.

Situasi bertukar menjadi emosional apabila Aiman bertanyakan tujuan pembelian kereta tersebut.

"Tapi bila saya tanya, ‘Kereta ni untuk kegunaan siapa bang?’ Beliau diam lama… Sampai saya fikir soalan saya salah,” katanya.

Pelanggan itu kemudian menarik nafas dan menjawab perlahan, mendedahkan niatnya yang mendalam.

"Untuk isteri saya… dia ulang-alik kerja jauh," jawabnya ringkas.

Jawapan ringkas itu menyakinkan Aiman bahawa ada kisah yang lebih besar tersembunyi.

Beliau memberanikan diri bertanya, "Abang tak pakai kereta?"

Jawapan pelanggan tersebut membuatkan Aiman terdiam.

"Beliau menggeleng. ‘Dulu pakai… tapi saya hilang kerja dua bulan lepas. Sekarang baru dapat kerja baharu. Saya tidak mampu sangat, tapi saya nak dia selesa, sebab dia banyak menanggung saya sebelum ini’," jelas pelanggan itu.

Aiman mengakui beliau terdiam seketika, menyedari bahawa riak wajah masam di awal pertemuan itu bukan tanda kemarahan, tetapi disebabkan beban emosi dan kesukaran yang sedang dilalui.

"Tadi saya sangka beliau marah. Rupanya beliau sedang menahan banyak benda dalam hati. Kadang muka seseorang bukan tanda perangainya. Ia tanda apa yang beliau sudah lalui,” kata Aiman.

Aiman kemudian mengambil inisiatif membuat pengiraan pakej yang paling jimat, tanpa sebarang usaha untuk ‘meningkatkan jualan’.

Beliau tulus ingin membantu lelaki itu merealisasikan hasratnya.

Selepas selesai, buat pertama kalinya pelanggan itu mengukir senyuman nipis.

"Kalau saya dapat memberikan isteri saya kereta ini… itu dah cukup," katanya.

Aiman menyimpulkan, walaupun dalam dunia jualan sering berhadapan dengan pelbagai karenah pelanggan, pengalaman itu mengajarnya sesuatu yang amat bermakna.

"Orang beli kereta bukan sebab kereta. Beliau beli sebab tanggungjawab dan sayang. Kadang-kadang orang paling kita tidak sangka dengan mukanya yang garang masuk bilik pameran, adalah orang yang hatinya paling lembut," tutup Aiman. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram