GENAP sebulan pemergian tragis anak gadisnya, Shing Xuen, ibu mangsa kes tikam yang menggemparkan negara meluahkan rasa pilu yang tidak terhingga.
Lau Li Ching, juga membuat teguran keras kepada masyarakat di Facebook peribadinya dengan tegas menekankan bahawa tanggungjawab membentuk peribadi anak bukan hanya terletak pada bahu pelaku, tetapi wajib dipikul oleh setiap keluarga.
Wanita itu menegaskan tragedi yang berlaku seharusnya menjadi cerminan menyeluruh terhadap peranan ibu bapa dalam membimbing dan mendidik anak.
BACA LAGI: Upah tolong bawa bungkusan ke luar negara, wanita dinasihatkan jangan terpedaya
BACA LAGI: 'Interior' paling unik, kenali tiga gaya jarang didengar tapi beri fungsi, estetika berganda
Beliau turut merayu agar keadilan ditegakkan dan isu keselamatan sekolah dipandang serius oleh semua pihak.
Dengan lantang beliau menyatakan bahawa setiap ibu bapa mempunyai kewajipan untuk membimbing dan memupuk anak-anak.
"Setiap ibu bapa mempunyai tugas untuk membimbing dan memupuk anak mereka. Apabila sesuatu yang begitu serius berlaku, bukan hanya anak itu yang mesti dipertanggungjawabkan kerana keluarga juga mesti memikul tanggungjawab atas peranan mereka dalam membentuk tindakan anak-anak mereka," tegasnya.
Li Ching menambah, hanya melalui refleksi dan kebertanggungjawaban, masyarakat dapat menghalang tragedi yang sama daripada berulang.
Dalam mesej sempena sebulan pemergian Shing Xuen, Li Ching menceritakan bagaimana kehilangannya telah meninggalkan luka parah dalam keluarga.
Ia sekali gus memadamkan segala perancangan masa depan yang telah diatur bersama anak gadisnya yang patuh dan penuh kasih sayang itu.
Antaranya, keluarga merancang untuk membawanya belayar dengan kapal persiaran selepas mangsa selesai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Mereka juga berjanji menyambut ulang tahunnya di dalam kapal terbang dan terbang ke Guangzhou, China kerana mangsa sangat teruja untuk berpindah ke rumah baharu.
Mangsa juga telah mereka bentuk biliknya sendiri dan membeli kelengkapan kegemarannya.
"Kini, segalanya telah menjadi penyesalan, segalanya tidak dapat direalisasikan untuknya telah menjadi kesakitan yang kekal dalam hati kami," luahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
