Upah tolong bawa bungkusan ke luar negara, wanita dinasihatkan jangan terpedaya


  • Maya
  • Ahad, 16 Nov 2025

JANGAN SESEKALI ambil risiko membawa barangan milik orang lain di lapangan terbang kerana anda mungkin terjerat dalam isu barang terlarang yang boleh membawa padah. — Gambar hiasan/AI

TINDAKAN mengupah atau meminta bantuan orang lain untuk membawa bungkusan atau barangan ke luar negara melalui lapangan terbang disifatkan sebagai perbuatan berisiko tinggi.

Ini kerana ia boleh mengundang padah sekiranya barangan tersebut mengandungi bahan terlarang.

Peringatan serius itu dikongsikan oleh seorang pengguna laman media sosial, iamezzra_bellazra, di Threads.

BACA LAGI: 'Interior' paling unik, kenali tiga gaya jarang didengar tapi beri fungsi, estetika berganda

BACA LAGI: 'ALLAH tak bagi kereta baharu masa mak hidup', anak kongsi rezeki melimpah lepas arwah ibu pergi

Dalam hantarannya, iamezzra_bellazra menekankan bahawa nasihat untuk tidak membawa barangan milik orang lain di lapangan terbang adalah kesedaran umum.

Ini kerana perkara itu telah lama diketahui dan sering kali diulang-ulang oleh pegawai kastam.

"Tiada sesiapa menuduh anda tentang apa-apa. Komen yang diberikan adalah kesedaran umum, semua orang tahu bahawa anda tidak patut membawa barangan orang lain melalui lapangan terbang kerana ia adalah risiko keselamatan.

"Malah pegawai kastam juga sentiasa menasihati perkara yang sama.

"Saya hanya menyebarkan kesedaran tentang risiko membawa barangan milik orang lain di lapangan terbang," tegas beliau.

Kenyataan itu jelas ditujukan untuk memperjelaskan bahawa teguran yang diberikan adalah satu peringatan keselamatan bersifat umum.

Isu itu amat penting kerana melibatkan keselamatan diri dan undang-undang antarabangsa.

Tanpa disedari, individu yang bersetuju membawa bungkusan atau bagasi orang lain berpotensi besar untuk dijadikan 'keldai dadah' oleh sindiket jenayah terancang.

Menurut undang-undang penerbangan dan kastam, tanggungjawab penuh ke atas kandungan bagasi adalah terletak pada pemilik tiket penerbangan yang mendaftar masuk dan membawa beg tersebut.

Walaupun hanya berbekalkan rasa simpati atau diupah dengan sedikit wang, sekiranya bungkusan tersebut didapati mengandungi dadah, senjata atau barangan larangan lain, pembawa barangan tersebut akan menanggung akibat undang-undang yang amat berat.

Ini tidak terkecuali dengan hukuman penjara atau mati, bergantung kepada negara destinasi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram