Jangan panik jika haid semasa umrah! Ini panduan jemaah wanita perlu tahu


  • Sihat
  • Isnin, 17 Nov 2025

Jemaah wanita dinasihatkan kekal tenang dan memahami panduan fiqah sekiranya didatangi haid ketika menunaikan umrah. — Gambar hiasan/Janaan AI

RAMAI jemaah wanita berdepan situasi cemas apabila didatangi haid pada waktu yang tidak dijangka, lebih-lebih lagi ketika sedang bersiap untuk menunaikan umrah.

Namun, menurut beberapa panduan fiqah yang dikongsi pengendali ibadah tersebut, keadaan itu bukan bermakna ibadah terbatal sepenuhnya, sebaliknya ada cara yang boleh diikuti bagi memastikan umrah tetap dapat dilaksanakan dengan sah.

Berikut panduan ringkas yang boleh dijadikan rujukan sebelum dan semasa berada di tanah suci:

BACA LAGI: [VIDEO] Bintang Wicked teruja lihat kuku hasil anak Malaysia, tekstur berupa bunga raya, durian dicipta 3D

BACA LAGI: Kian popular dijual sebagai gummy kecantikan, KKM arah henti jualan ASGG Gluta Genc Glow Gummies

1. Buat persediaan sebelum berangkat

Bagi jemaah yang mempunyai tarikh umrah yang rapat dengan kitaran haid, pemeriksaan dan nasihat doktor amat digalakkan.

Doktor pakar boleh mencadangkan ubat penunda haid yang sesuai, namun ia perlu diambil mengikut saranan serta dimulakan lebih awal.

Selain itu, jemaah disaran membawa bekalan tuala wanita secukupnya walaupun tidak berada dalam jangkaan haid bagi mengelakkan keadaan tidak bersedia.

2. Jika haid bermula sebelum miqat

Sekiranya haid datang sebelum berniat ihram di miqat, wanita tidak dibenarkan melafazkan niat umrah.

Dalam keadaan ini, jemaah perlu menunggu sehingga suci terlebih dahulu.

Sepanjang tempoh menunggu, mereka dibenarkan mengikuti aktiviti ziarah, berdoa dan berzikir.

Setelah suci, jemaah hendaklah mandi wajib sebelum keluar ke miqat berhampiran seperti Tan'im atau Ji'ranah untuk berniat ihram dan meneruskan umrah.

3. Jika haid datang selepas berniat ihram

Situasi ini lebih kerap berlaku yang mana jemaah sudah berniat ihram di Bir Ali atau dalam pesawat, namun tiba-tiba haid sebelum sempat melakukan tawaf.

Dalam keadaan ini, larangan ihram masih kekal dan jemaah tidak boleh bertahallul (keluar dari keadaan ihram sama ada dengan mencukur atau menggunting rambut selepas tiba masanya).

Solusinya adalah menunggu sehingga suci kerana tawaf tidak boleh dilakukan ketika haid.

Namun, jemaah tetap boleh melakukan ibadah lain seperti berzikir, berdoa, mendengar tazkirah atau mengikuti rombongan ziarah tanpa melanggar sebarang larangan ihram.

4. Haid selepas tawaf tetapi sebelum sa'i

Ada juga jemaah yang sempat menyelesaikan tawaf dalam keadaan suci tetapi didatangi haid sebelum memulakan sa'i.

Dalam keadaan ini, mereka masih dibenarkan meneruskan sa'i kerana laluan sa'i bukan sebahagian daripada kawasan Masjidil Haram.

Selepas selesai sa'i, jemaah boleh bertahallul seperti biasa dan ibadah umrah tetap sah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram