Kian popular dijual sebagai gummy kecantikan, KKM arah henti jualan ASGG Gluta Genc Glow Gummies


  • Gaya
  • Ahad, 16 Nov 2025

Produk ASGG Gluta Genc Glow Gummies diharamkan KKM kerana mengandungi bahan terlarang. — Instagram/@dcubiccentre

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengharamkan penjualan dan pengiklanan ASGG Gluta Genc Glow Gummies selepas produk itu didapati mengandungi glutathione, iaitu bahan aktif yang tidak dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Pemantauan berterusan oleh Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) mendapati gummies tersebut tidak mematuhi peraturan.

KKM menjelaskan, glutathione tidak tersenarai dalam Jadual 12, Jadual Dua, Peraturan 26 Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang menetapkan nutrien tambahan yang dibenarkan dalam makanan.

BACA LAGI: The Ordinary pilih Slowvember, rai pengalaman borong produk kecantikan tanpa tekanan

BACA LAGI: Cinta bukan sebab utama rumah tangga kekal utuh, pakar psikologi dedah faktor nombor satu

Justeru, penggunaan glutathione dalam produk makanan adalah tidak dibenarkan.

KKM turut menjelaskan, produk yang mengandungi glutathione perlu didaftarkan dengan Agensi Pengawal Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA).

Disebabkan pelanggaran itu, produk berkenaan dilarang dijual atau diiklankan di Malaysia.

Pemeriksaan mendapati gummies tersebut dipasarkan di beberapa platform e-dagang, termasuk Shopee, Lazada dan TikTok.

Setakat Isnin, sebanyak 121 permohonan untuk menyekat pengiklanan telah dikemukakan kepada penyedia platform e-dagang berkenaan.

Mengikut Seksyen 13B(2)(d) Akta Makanan 1983, menambah sebarang bahan yang tidak dibenarkan ke dalam makanan adalah satu kesalahan.

Pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000, penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kementerian terlibat turut mengeluarkan amaran kepada peniaga dan pengedar termasuk penjual dalam talian yang masih mempunyai stok produk berkenaan.

Semua penjualan mesti dihentikan serta-merta dan penjual diarahkan untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk penahanan produk.

Semua media pengiklanan, termasuk laman e-dagang dan platform sosial mesti menghentikan sebarang iklan bagi produk terbabit.

Pengguna yang sedang menggunakan produk itu disarankan berhenti serta-merta dan mendapatkan nasihat atau rawatan perubatan daripada profesional kesihatan.

"KKM menasihatkan pengguna supaya berhati-hati ketika membeli produk makanan yang mungkin mengandungi bahan yang tidak dibenarkan," katanya.

Orang ramai boleh melaporkan isu atau insiden keselamatan makanan kepada Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat.

Laporan juga boleh dikemukakan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau laman rasmi Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan di http://moh.spab.gov.my

 atau https://www.facebook.com/bkkmofficial. — The Star/MOHD FARHAAN SHAH

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram