JENAMA penjagaan kulit terkenal, The Ordinary meraikan kempen tahunan Slowvember dengan sebuah makan malam eksklusif bertemakan ketenangan dan kehadiran yang berlangsung di Sun & Moon, Kuala Lumpur pada Rabu.
Acara yang dihadiri rakan media, selebriti dan pempengaruh itu menjadi simbol kepada usaha jenama tersebut menolak budaya jualan besar-besaran seperti Black Friday.
Mereka sebaliknya menggalakkan pengguna berbelanja tanpa tekanan atau pengaruh diskaun semata-mata.
BACA LAGI: Tingkatkan ilmu, belajar cintai diri agar rumah tangga dibina terus harmoni, bahagia — Dr. Muhaya
Sudah enam tahun The Ordinary mengekalkan pendiriannya untuk tidak menyertai kempen diskaun besar hujung tahun dan Slowvember kini menjadi kempen tahunan mereka sebagai tanda meraikan nilai ketenangan dalam kehidupan seharian menerusi tawaran diskaun sebanyak 23 peratus ke atas semua produk.
Sebelum sesi makan malam bermula, para tetamu turut disajikan dengan aktiviti melukis yang memberi ruang untuk berehat, berinteraksi dan menikmati suasana santai.
Produknya turut dipamerkan bagi memberi peluang kepada undangan melihat dan mengenali koleksi jenama itu dengan lebih dekat.
Majlis yang bermula jam 5.30 petang tersebut berlangsung secara santai dan intim dengan penekanan pada kehadiran dan interaksi di sebalik kecantikan.
Berasal dari Kanada dan ditubuhkan pada tahun 2016 di bawah syarikat DECIEM, The Ordinary menekankan produk penjagaan kulit yang berkesan, mampu milik dan mudah diakses.
Jenama itu juga menggunakan pendekatan minimalis pada nama dan pembungkusan produknya bagi memastikan pengguna tahu dengan tepat bahan aktif yang digunakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
