Menang di peringkat ASEAN pula, Sweet Qismina rangkul trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik AIFFA 2025


  • Sukses
  • Ahad, 16 Nov 2025

Selepas memenangi Pelakon Wanita Terbaik FFM34, Sweet Qismina melakar satu lagi pencapaian besar di AIFFA 2025. — Instagram /@sweetqismina

NAMA Sweet Qismina kembali menjadi sebutan apabila beliau diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada ASEAN International Film Festival & Awards (AIFFA) 2025) yang berlangsung pada Sabtu di Colosseum Ballroom, Pullman Hotel Kuching, Sarawak.

Pada malam penuh prestij itu, beliau tampil anggun dalam persalinan tradisional serba merah jambu rekaan Zaimi Zulkifli, sekali gus memikat tetamu yang hadir.

Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi berjaya mengangkat watak Maya dalam filem Babah, mengatasi pencalonan kuat dari Vietnam, Filipina dan Indonesia.

BACA LAGI: Cinta bukan sebab utama rumah tangga kekal utuh, pakar psikologi dedah faktor nombor satu

BACA LAGI: Sebulan pemergian Shing Xuen, ibu mangsa tikam ingatkan keluarga pikul tanggungjawab bentuk peribadi anak

Kemenangan tersebut mengukuhkan lagi reputasi pelakon berusia 28 tahun itu sebagai antara bakat muda paling menyerlah dalam industri seni Malaysia.

Trofi AIFFA tersebut turut melengkapkan perjalanan kejayaannya selepas meraih Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-34 melalui filem sama, menjadikan pencapaian itu sebagai satu lagi detik penting dalam karier hampir dua dekadnya.

AIFFA 2025 menyaksikan penyertaan sebanyak 200 filem dari seluruh ASEAN, menjadikan acara tersebut antara platform paling berpengaruh bagi menghimpunkan karya dan tenaga kreatif serantau.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selain persembahan istimewa daripada beberapa nama besar seperti Dato’ M. Nasir, Ruth Sahanaya, Mimifly dan artis-artis serantau lain, menambahkan lagi kemeriahan malam penghargaan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram