Anak Malaysia digelar 'iron butterfly', Universiti Waterloo di Kanada abadikan legasi Dr. Pearl, namakan bangunan kejuruteraan 'Pearl Sullivan'


  • Sukses
  • Ahad, 16 Nov 2025

Dr. Pearl Lee Sullivan. — Agensi

KUAT, tegas dan cekal, namun penuh kebaikan dan sisi lembut. Begitulah warga Universiti Waterloo, Kanada mengenang anak kelahiran Kuala Lumpur, Dr Pearl Lee Sullivan.

"Beliau seperti yang pernah disebut seseorang adalah ‘kupu-kupu besi’ dalam setiap erti kata," kata dekan Kejuruteraan universiti itu, Prof Mary Wells mengenang pendahulunya.

Pearl yang merupakan wanita pertama memegang jawatan tersebut, memimpin Fakulti Kejuruteraan melalui fasa perkembangan dan inovasi besar dari 2012 hingga 2019.

Beliau meninggal dunia pada 2020 ketika berusia 59 tahun selepas berjuang melawan kanser.

BACA LAGI: Fenomena kecantikan hibrid mewah, bungkusan bersadur emas, bertatah berlian dan permata

BACA LAGI: Pernah dianggap terlalu tua untuk jadi idola K-pop, Ejae kini cetus fenomena muzik global

Sumbangan Dr. Pearl terus diiktiraf dengan penamaan semula bangunan ikonik Engineering 7 kepada The Pearl Lee Sullivan Engineering Building. — Instagram/@frank.baylis

Legasi beliau terus dihargai melalui penamaan semula bangunan ikonik Engineering 7 sebagai The Pearl Lee Sullivan Engineering Building.

Dalam temu bual melalui emel bersama StarEdu, Prof Wells berkata, penamaan semula itu dapat direalisasikan hasil sumbangan transformasi bernilai AS$20 juta (RM59 juta) daripada Gloria Baylis Foundation milik Frank dan Valerie Baylis.

"Yayasan itu melihat persamaan ketara antara Gloria Baylis dan Pearl Sullivan, dua tokoh wanita perintis yang kekuatan dan kepimpinan mereka membuka jalan untuk orang lain.

"Ini adalah penghormatan yang tepat kepada sumbangan Pearl dan standard tinggi yang beliau tetapkan dalam pendidikan serta penyelidikan kejuruteraan," katanya.

Mengenang sumbangan Pearl, Prof Wells berkata, sebagai dekan, beliau meningkatkan profil penyelidikan global Waterloo dalam bidang seperti kecerdasan buatan, pembuatan maju, nanoteknologi dan robotik sambil memastikan pelajar mendapat pengalaman praktikal selaras dengan cita-cita mereka.

"Beliau mengetuai kempen Educating the Engineer of the Future, memimpin pembinaan Engineering 7 dan pelancaran Engineering IDEAs Clinic yang kini turut dinamakan sempena beliau serta mengukuhkan budaya yang menghargai keusahawanan dan keterangkuman.

"Langkah-langkah ini terus membentuk cara pelajar kami belajar, cara penyelidik bekerjasama dengan industri dan bagaimana kami menyumbang kepada masyarakat," katanya.

Prof Wells turut menonjolkan ciri kepimpinan Pearl.

"Pearl memimpin dengan kekuatan dan hati. Beliau mendorong orang mencapai tahap lebih tinggi tetapi tetap mengambil berat tentang insan di sebalik setiap tugasan.

"Saya masih ingat perjalanan jauh kami ke pembentangan dan acara. Beliau boleh sahaja sibuk menjawab emel atau merancang inisiatif besar seterusnya, namun tetap berhenti seketika bertanya tentang keluarga saya atau keadaan di rumah.

"Keseimbangan antara semangat kerja, empati dan keceriaan itu memang ciri Pearl dan itulah yang menjadikannya pemimpin yang begitu menginspirasikan," katanya.

Beliau menambah, Pearl sangat percaya pada usaha membuka peluang untuk orang lain.

"Kisahnya mengingatkan kita untuk bekerja bersungguh-sungguh, bertanya soalan besar, saling menyokong dan mengambil tempat dalam membentuk masa depan," katanya.

Sejajar dengan semangat tersebut, Prof Wells berkongsi, terdapat banyak peluang untuk perniagaan dan institusi Malaysia bekerjasama dengan Fakulti Kejuruteraan universiti itu.

Ini termasuk pertukaran dengan universiti di Malaysia dalam bidang yang selari dengan kepakaran Waterloo, kluster penyelidikan bersama dalam bidang kesihatan, kemanusiaan dan teknologi, laluan keusahawanan yang menghubungkan bakat Malaysia dengan inkubator dan mentor alumni mereka serta peluang untuk industri Malaysia mengambil pelajar terbaik universiti itu melalui program koperasi mereka.

Pandangan udara The Pearl Lee Sullivan Engineering Building. — Universiti Waterloo

Sumber inspirasi

Menyampaikan penghargaan keluarga kepada yayasan dan universiti, kakak Pearl, Susan Lee berkata, penamaan semula bangunan itu adalah satu penghormatan besar yang meraikan dedikasi seumur hidup Pearl terhadap pendidikan, penyelidikan dan pelajar-pelajarnya.

"Mengenali Pearl, beliau tentu berasa sangat dihormati tetapi tetap rendah hati.

"Beliau sentiasa percaya kejayaannya terhasil melalui usaha bersama rakan sekerja, pelajar dan komuniti yang menyokongnya.

"Paling penting, beliau sentiasa mengakui berkat, rahmat dan kurnia Tuhan dalam hidupnya dan melihat bidang ini sebagai panggilan untuk berkhidmat sebagai pendidik, pemimpin dan mentor," jelasnya.

Lee turut berharap penghargaan ini menjadi sumber inspirasi khususnya kepada anak muda Malaysia dan wanita yang mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan dan sains.

"Perjalanan Pearl mengingatkan kita bahawa dengan minat, tekad, ketabahan dan tujuan, seseorang boleh mengatasi cabaran dan memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat.

"Kisah dan legasinya membuktikan wanita memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan teknologi dan inovasi," ujarnya.

Majlis penamaan semula itu berlangsung pada 4 November dalam satu upacara khas di universiti berkenaan.

Presiden dan naib canselor Universiti Waterloo, Dr Vivek Goel berkata, Pearl adalah pemimpin berwawasan yang minatnya dalam pendidikan kejuruteraan dan kejayaan pelajar telah mengubah fakulti dan komuniti.

"Menamakan bangunan ini sempena beliau memastikan semangat inovasi, keberanian dan belas kasihan yang dibawanya terus memberi inspirasi kepada generasi akan datang," katanya.

Bangunan itu yang siap pada 2018 di bawah kepimpinan Pearl menjadi hab pembelajaran kolaboratif, inovasi reka bentuk dan pengalaman praktikal.

Ia menempatkan kemudahan canggih untuk kejuruteraan mekanikal dan mekatronik, kejuruteraan bioperubatan, robotik dan Conrad School of Entrepreneurship and Business.

Dibesarkan di Kuala Lumpur, Pearl melanjutkan pengajian tinggi di Kanada dan memperoleh ijazah sarjana muda serta sarjana dalam kejuruteraan metalurgi dari Technical University of Nova Scotia (kini sebahagian daripada Dalhousie University) di mana beliau lulus dengan cemerlang.

Beliau kemudian menerima PhD dalam kejuruteraan bahan dari University of British Columbia.

Kerjaya cemerlangnya merangkumi tugas mengajar di Nanyang Technological University di Singapura dan University of New Brunswick di Kanada sebelum menyertai Waterloo pada 2004.

Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya, beliau dinamakan felo Canadian Academy of Engineering dan menerima pelbagai anugerah atas kecemerlangan dalam pengajaran, kepimpinan dan penyelidikan. — The Star/ROWENA CHUA

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram