Fenomena kecantikan hibrid mewah, bungkusan bersadur emas, bertatah berlian dan permata


  • Gaya
  • Sabtu, 15 Nov 2025

Loket eksklusif Dior Joaillerie dengan gincu tersembunyi hasil kolaborasi kreatif hibrid. — Agensi

MEI lalu, seorang model tampil memukau dalam gaun berwarna mustard dengan hiasan bunga di taman mewah milik Christian Dior, Château de La Colle Noire.

Penampilannya dilengkapi loket silinder yang dihiasi bunga enamel dan permata, tergantung pada rantai mewah.

Direka oleh pengarah kreatif Dior Joaillerie, Victoire de Castellane, loket tersebut bukan sekadar perhiasan.

Dengan satu klik dibuka, ia mendedahkan ruang rahsia yang berisi sebatang gincu.

BACA LAGI: Adele bakal debut sebagai pelakon, terajui filem ketiga arahan Tom Ford

BACA LAGI: Henti diskriminasi warna kulit, air kelapa bantu lahir bayi ‘kulit putih’ cuma mitos — Dr. Imelda Balchin

Di luar nampak seperti rantai biasa, namun ia menyimpan gincu di dalamnya. — Agensi

Item istimewa itu merupakan hasil kolaborasi antara de Castellane dan pengarah kreatif mekap Dior, Peter Philips.

Dior berkata, produk hibrid itu menggabungkan hubungan semula jadi antara perhiasan dan kecantikan.

Gabungan produk berbeza jadi trend

Dior bukan satu-satunya jenama yang mencipta gabungan produk berbeza.

Awal tahun ini, tukang perhiasan Amerika Syarikat (AS), Suzanne Kalan bekerjasama dengan jenama penjagaan kulit Natura Bissé untuk rawatan wajah menggunakan berlian potongan mawar.

Semasa rawatan, berlian diletakkan pada titik chakra di wajah dan leher dan ia ditawarkan pada harga $796 (RM3,000) di Dorchester Hotel, London sahaja.

"Berlian membantu mengurangkan tekanan dan kebimbangan,” kata Kalan, yang merancang untuk menawarkan rawatan itu di spa lain.

Pakar psikologi pengguna dan pengasas Luxury Academy di London, Paul Russell melihat daya tarikan pengalaman sebegitu.

Berlian kini lebih daripada sekadar hiasan. Ia sebahagian daripada pengalaman mewah yang eksklusif.

Konsep sedemikian menarik minat golongan kaya yang kini lebih gemar melabur pada pengalaman unik dan aktiviti kesejahteraan.

Kolaborasi Guerlain dan Chaumet menghasilkan botol Bee edisi mewah yang dihiasi 336 berlian. — Agensi

Minyak wangi mewah jadi karya seni

Bidang paling subur bagi gabungan perhiasan dan kecantikan ialah perfumery mewah di mana botol minyak wangi boleh dijadikan objek seni.

Pada 2023, Guerlain bekerjasama dengan Chaumet menghasilkan minyak wangi tempahan khas dalam botol Bee dihiasi 336 berlian bernilai $1 juta (RM4 juta).

Botol itu juga menampilkan penutup yang boleh ditukar menjadi cincin sebagai penghormatan kepada wangian Eau de Cologne Imperiale yang digunakan Empress Eugenie ketika perkahwinannya dengan Napoleon III.

Sejak 2021, Bulgari telah menggabungkan perfumery mewah dalam koleksi perhiasan tinggi mereka.

Botol-botol terbaru diperbuat daripada kaca Murano buatan tangan dan dihiasi ukiran motif ular bertatah permata dengan harga melebihi $200,000 (RM800,000).

Begitu juga dengan Jaeger-LeCoultre yang melalui program Made of Makers memperkenalkan trio minyak wangi edisi terhad sebagai hadiah eksklusif untuk pelanggan yang membuat pembelian bernilai tinggi.

Selain itu, tukang perhiasan Belanda Bibi van der Velden bekerjasama dengan Lyn Harris dan artis Aristide Najean menghasilkan pasu yang menempatkan lilin wangi, menggabungkan seni, perhiasan dan aromaterapi.

Beg kosmetik mewah Minaudiere ciptaan Van Cleef & Arpels menampilkan ruang khas untuk gincu, bedak serta minyak wangi. — Media sosial

Evolusi aksesori kecantikan

Pada asalnya, aksesori kecantikan dianggap pelengkap bagi perhiasan mewah. Van Cleef & Arpels memperkenalkan Minaudiere pada 1930-an, beg kosmetik bertatah permata lengkap dengan ruang untuk gincu, bedak dan minyak wangi.

Botol minyak wangi porselin daripada Meissen, Capodimonte dan jenama lain direka untuk dipamerkan, bukannya disimpan di bilik mandi.

Namun, apabila produk kecantikan mula dipasarkan secara besar-besaran, pembungkusan menjadi lebih ringkas.

Kini, jenama premium kembali menekankan penggunaan bahan berkualiti, kemasan elegan dan reka bentuk unik untuk meningkatkan nilai produk.

Pierre Dupreelle dari Boston Consulting Group menjelaskan bahawa bagi jenama kecantikan, mengambil inspirasi daripada kod perhiasan mewah dapat meningkatkan persepsi dan menempatkan produk dalam kelas ultra-mewah.

Bagi tukang perhiasan pula, kolaborasi sebegini membuka peluang untuk mencapai audiens dan pengalaman baharu.

Contohnya, gincu Guerlain Rouge G yang boleh diisi semula dan lengkap dengan cermin kecil kini menjadi koleksi yang boleh dikumpul.

Walaupun pasaran mewah global sedikit menurun, kategori kecantikan dan perhiasan terus berkembang kerana nilai emosi, daya tarikan sebagai hadiah dan persepsi nilai yang tinggi.

Federica Levato dari Bain & Company berkata, gabungan kedua-duanya mencipta kesan yang kuat di mana keseronokan estetik bertemu rasa selamat secara emosi.

Menurut Russell, pengguna kini lebih menghargai momen berbanding kategori.

Objek yang terasa peribadi, bijak, dan sedikit pelik lebih menarik. Sebatang gincu dalam loket mungkin tidak praktikal, tetapi itulah nilai mewahnya, iaitu eksklusif, unik, dan luar jangka. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram