Wanita dicerai talak tiga, kahwini bapa kepada 'penyondol' bekas suaminya


  • Cinta
  • Jumaat, 14 Nov 2025

Diceraikan talak tiga akibat disondol, wanita ini membuat kejutan mengahwini bapa kepada penyondol. — Gambar hiasan/AI

SATU perkongsian tular di media sosial, Threads, baru-baru ini telah menarik perhatian ramai apabila mendedahkan kisah 'dendam terbalas' seorang wanita yang diceraikan talak tiga selepas rumah tangganya diganggu oleh pihak ketiga atau lebih dikenali sebagai 'penyondol'.

Pengguna Threads bernama Raudhah berkongsi pengalaman sahabatnya yang mengambil sikap untuk mengahwini bapa kepada wanita yang merampas bekas suaminya.

Menurut perkongsian Raudhah, rakannya yang berusia 42 tahun diceraikan talak tiga oleh suaminya yang berusia 50 tahun pada tahun lalu, demi mengejar 'penyondol' jauh lebih muda, iaitu 25 tahun yang bekerja di sebuah kilang.

BACA LAGI: Menelusuri visual liku-liku kehidupan, diversiti budaya Malaysia pada Festival Kongsi.Seni

BACA LAGI: [VIDEO] Elak kahwin lelaki '2 alam', perkahwinan 'lavender' risiko kena HIV, penyakit kelamin

Keadaan menjadi lebih sedih apabila sahabat Raudhah yang mempunyai seorang anak berusia tiga tahun itu turut menghadapi kata-kata pedas daripada ibu 'penyondol' tersebut.

"Sebelum diceraikan talak tiga, kawan saya menelefon mak 'penyondol' itu, memberitahu untuk menghalang anak daranya daripada mengganggu rumah tangganya.

"Tetapi, jawapan mak 'penyondol' lagi menyakitkan. Dia cakap 'Kau yang tak pandai jaga lelaki, asyik sibuk kerja sebab itu lelaki cari lain," tulis Raudhah.

Namun, takdir ALLAH S.W.T telah menyusun plot yang tidak disangka-sangka dalam kehidupan wanita dicurangi itu.

Wanita itu nekad mencari bapa kepada 'penyondol' tersebut, tetapi pada mulanya tidak berjaya.

"Kawan saya mencari pula bapa perempuan itu untuk memberitahu perangai anak dia, tetapi tidak dapat bercakap. Akhirnya, dapat juga mencari. Terus jadi suami selepas hampir setahun," kongsi Raudhah.

Raudhah menceritakan, pada awalnya dia berasa marah dengan tindakan rakannya yang seolah-olah cuba membalas dendam.

Namun, wanita itu menjelaskan bahawa pertemuannya dengan bapa 'penyondol' itu benar-benar menggerakkan hatinya.

"Saya pada mulanya marah dekat kawan saya, tetapi kawan saya meminta maaf kepada saya kerana jadi kawan yang teruk. Awalnya mungkin mahu membalas dendam, tetapi melihat lelaki itu baik sangat. Kawan saya cakap mungkin dia jodoh saya," tambahnya.

Detik pertemuan istimewa mereka berlaku ketika rakannya menunaikan umrah pada awal tahun lalu.

"Dipersingkatkan cerita, mereka terjumpa di Makkah. Balik Kuala Lumpur, mereka mula rapat. Masing-masing jatuh cinta. Empat bulan lepas mereka sudah berkahwin," cerita Raudhah.

Bekas suami rakannya dan 'penyondol' itu pula masih belum berkahwin dan sentiasa memarahi rakan Raudhah.

Apabila Raudhah bertanyakan kepada rakannya sama ada dia tidak berasa kasihan kepada ibu 'penyondol' yang kini menjadi bekas madunya, jawapan diberikan cukup tegas dan jelas.

"Jawapan yang kawan saya beri TIDAK. Sebab masa anak dia menjadi 'penyondol', mak 'penyondol' dia pernah cakap, 'Kau yang tidak pandai jaga laki. Jangan nak salahkan anak aku'" jelasnya.

"Kawan saya cakap, bestkan bila tengok orang yang kita sayang kena 'sondol'. Sekarang kau dengan mak kau boleh menangis, macam aku dahulu, Kau kejam, aku lagi kejam," balasnya.

Melihat perkongisan itu rakan Raudhah meluahkan rasa syukurnya kepadanya dan orang ramai yang memberikan sokongan moral.

"Lebih 5,000 yang like dan ramai yang kongsi. Terima kasih, selama ini saya rasa bersalah sangat. Walaupun suami cakap saya bukan 'penyondol'.

"Saya baca semua komen dekat hantaran awak (Raudhah). Saya terharu, terima kasih jadi kawan terbaik saya, yang selalu marah dan tegur saya. Sekarang saya tak rasa bersalah lagi, terima kasih Ya Allah," ujar wanita itu dalam pesanan ringkas kepada Raudhah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram