'Belajar tinggi tapi kerja kilang?', sindiran makcik buat bapa tampil pertahan anaknya


  • Maya
  • Selasa, 11 Nov 2025

Bapa seorang ahli kimia bangga pertahankan anaknya di hadapan mak cik yang menyindir, kerana meremehkan jawatan anaknya yang disangkanya rendah hanya kerana beliau bekerja di kilang. — Gambar hiasan/AI

STEREOTAIP terhadap pekerjaan di kilang nampaknya masih menebal dalam kalangan segelintir masyarakat kita.

Ini secara tidak langsung menyebabkan lebih ramai cenderung untuk meremehkan tanpa mengetahui kedudukan atau peranan sebenar seseorang.

Situasi janggal itu dikongsikan oleh seorang wanita dikenali sebagai Putri Aina MSuhaimee, selepas dia disindir oleh seorang wanita gara-gara jawapan ringkas tentang pekerjaannya.

BACA LAGI: Maiya kongsi nama muslim Liana Alara, Ben Amir syukur kekasih Filipina peluk Islam

BACA LAGI: Rumah pusaka terbiar sedekad, gara-gara adik-beradik perempuan enggan pakcik tuntut bahagiannya

Menerusi hantaran tular di media sosial, Putri Aina menceritakan insiden tersebut.

Apabila ditanya oleh seorang wanita berstatus mak cik menanyakan tentang pekerjaannya, beliau hanya menjawab, "kerja kilang sahaja," tanpa menyebut jawatan sebenar.

Jawapan ringkas itu mengundang respons berbaur sinis dan merendahkan daripada individu tersebut.

"Belajar tinggi-tinggi kerja kilang sahaja? Anak mak cik kerja supervisor."

Putri Aina berkata, jelas mak cik itu cuba merendahkannya, mengandaikan dia memegang jawatan biasa di kilang tersebut.

Namun, sebelum sempat beliau membalas, bapanya muncul dan membetulkan tanggapan mak cik itu dengan tenang.

"Dia kerja kilang, di makmal. Dia kerja sebagai ahli kimia."

Kata-kata tersebut bukan sahaja mengejutkan mak cik itu, malah serta-merta membuatkan dia terdiam malu.

Putri Aina kemudiannya mengingatkan orang ramai agar tidak berasa malu apabila ditanya di mana mereka bekerja, walaupun jawapannya adalah 'di kilang'.

"Jangan malu bila orang tanya kerja mana, cakap sahaja kerja kilang. Tak semestinya kerja kilang kedudukan biasa-biasa sahaja, bukan? Tak semestinya ahli kimia mesti berada dalam sektor kerajaan. Ada banyak sahaja di sektor swasta," tegasnya.

Tambahnya, masyarakat perlu lebih berfikiran terbuka dan berhenti membuat andaian serta cuba merendahkan orang lain semata-mata kerana perkataan 'kilang'.

Hakikatnya, sektor swasta hari ini penuh dengan peranan khusus dan berpendapatan tinggi dalam bidang sains dan kejuruteraan.

Perkongsian Putri Aina mendapat sambutan hangat, dan ramai warganet berkongsi pengalaman serupa.

Seorang pengguna yang bekerja sebagai perunding kesihatan dan keselamatan menceritakan dia pernah disindir oleh seorang mak cik, "Belajar sampai ijazah, jadi pengawal keselamatan sahaja?"

Dia hanya tersenyum dan berlalu pergi kerana mak cik itu tidak tahu beliau sebenarnya berpendapatan lima angka, menjalankan penilaian keselamatan tempat kerja secara profesional, menyediakan laporan terperinci, malah memerlukan lesen yang perlu melalui temu bual bersama pihak berkuasa.

Kata warganet itu, mereka terlampau penat untuk menerangkan keseluruhan tugas mereka, justeru membiarkan sahaja orang lain membuat sebarang andaian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram