BAGAIKAN berada di celah-celah kehidupan manusia yang sarat pelbagai emosi. Ada tawa, ada tangisan dan tidak kurang juga segelintirnya menahan rindu pada insan istimewa dan memori lama.
Ini antara babak visual yang dapat dilihat tatkala kaki melangkah ke dalam perut Art Depo, Balai Seni Negara, Kuala Lumpur.
Ia susulan sedang berlangsungnya Festival Kongsi.Seni, sebuah pameran foto dokumentari dan seni menampilkan kepelbagaian ekspresi kreatif sambil menggabungkan elemen seni bina, penataan bunyi dan visual dalam menghasilkan pengalaman mendalam secara menyeluruh.
BACA LAGI: [VIDEO] Elak kahwin lelaki '2 alam', perkahwinan 'lavender' risiko kena HIV, penyakit kelamin
BACA LAGI: Kawasan kediaman Jepun pentingkan privasi, jangan terkejut diserbu polis gara-gara pintu berbunyi
Dua jurugambar antara karya dipamerkan, Mohd Hafizal Zahari (Ezal) dan Mohammad Affiq Mohd. Rislan, berkongsi inspirasi peribadi dan cabaran dalam mengangkat fotografi dokumentari sebagai medium penceritaan.
Mohd Hafizal Zahari, 37, menonjolkan seni visual bertajuk Sense in Memories, yang berputik daripada pelbagai kenangan negeri kelahirannya di Sabah.
Menurut Ezal, selain Negeri di Bawah Bayu, beliau turut mendapat ilham semasa menjalankan tugasan di Pulau Carey, Selangor apabila melihat sekumpulan kanak-kanak bermain di hujung pantai.
Filem bapa
Momen itu bukan sahaja memberinya peluang merakam pemandangan indah, bahkan secara tidak langsung menjentik emosi dan nostalgia peribadi.

Ezal berkongsi bagaimana kenangan masa kecil dan pengaruh filem lama bapanya membentuk tema Sense in Memories.
"Sebenarnya koleksi foto dipamerkan lebih kepada kisah peribadi sendiri kerana saya membesar dikelilingi persekitaran laut dan pantai.
"Bagi saya, gambar-gambar ini mempunyai emosi yang diadun bersama kepelbagaian kenangan. Secara tidak langsung, memberi satu keindahan buat saya dan keluarga," katanya kepada Majoriti di Festival Kongsi.Seni di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur pada Khamis.
Festival yang membawa pengunjung menelusuri pameran fotografi berkonsepkan dokumentari itu berlangsung antara 1 hingga 17 November 2025.
Bicara Ezal, kemenjadiannya dalam bidang fotografi hasil daripada dorongan dan sokonga terbesar daripada bapanya. Walaupun bukan jurugambar profesional, namun minat terhadap fotografi filem ketika beliau masih kanak-kanak meninggalkan memori istimewa sehingga hari ini.
"Dahulu tiada teknologi seperti sekarang yang mana sesi fotografi menggunakan filem. Apabila melihat hasil bidikan gambar-gambar ayah kenangan itu menerjah walau sudah 50 tahun berlalu.
"Bagi saya kasih sayang itu sentiasa kekal dalam kotak memori kerana kepingan gambar menghasilkan nilai sentimental yang tinggi," jelas Ezal yang cenderung merakam visual konsep rona hitam putih bagi menonjolkan tona dan keserasian dalam karyanya.

Affiq gigih merakam detik keagamaan dan ritual bagi mempamerkan kekayaan budaya Malaysiana.
Keunikan budaya
Berbeza dengan Ezal, Mohammad Affiq, 33, pula membawa konsep 'Malaysiana' yang meneroka kebudayaan, agama dan ritual komuniti tempatan.
Beliau mesra disapa Affiq telah lima tahun aktif dalam fotografi jalanan, menjelaskan hasil kerjanya ke festival ini merupakan siri kecil gambar-gambar rawak yang menepati tajuk Malaysiana, bermaksud 'undang-undang' kaum di tempatnya.
"Tajuk mikro saya adalah mengenai agama dan ritual dalam setiap budaya di Malaysia.
"Secara peribadi, saya ingin mempamerkan rasa ingin tahu itu kepada orang lain, sebab secara umum masih terdapat rakyat tempatan belum mengenali perbezaan budaya dan keagamaan di negara ini," katanya.

Setiap sudut Kongsi.Seni dibina untuk memberikan pengalaman menyeluruh, bukan sekadar melihat gambar.
Dalam merakam visual, Affiq sangat menekankan gubahan komposisi dan penggunaan warna terang serta permainan cahaya dan bayangan.
Cabaran terbesarnya adalah berhadapan khalayak ramai berikutan sesetengah individu kurang selesa gambar mereka dirakam.
"Saya membesar dengan menonton banyak dokumentari antarabangsa mengenai perbezaan kaum dan budaya.
"Secara tidak langsung saya sedar bahawa Malaysia juga mempunyai keistimewaan sedemikian. Jadi, kenapa kita tidak menghargai elemen-elemen ini ini?" soalnya yang turut rakyat menghargai seni fotografi dan kebudayaan dimiliki di tanah air.

Syaiful Redzuan berharap festival ini dapat meningkatkan kualiti dan apresiasi khalayak terhadap seni fotografi.
Penganjur dan kurator, Syaiful Redzuan Md Noor, 44, menjelaskan bahawa matlamat utama festival tersebut adalah untuk mengetengahkan konsep dokumentari sebagai platform penceritaan sambil membuktikan pameran berskala besar boleh dianjurkan secara DIY.
Beliau turut memberitahu, pendekatan festival itu juga berbeza kerana mengutamakan pengalaman keseluruhan kepada pengunjung.
"Apabila pengunjung datang, mereka bukan sekadar tengok gambar, tetapi boleh merasai seolah-olah berada dalam kisah berkenaan dek bantuan permainan bunyi dan visual.
"Kami mahu mereka (pengunjung) pulang dengan pengalaman dan memori menarik," ujarnya.
Bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, penganjuran festival berkenaan disifatkan salah satu pemangkin mempromosikan keunikan artistik tanah air.
Ruang pameran Festival Kongsi.Seni dibuka kepada kunjungan awam bermula dari 1 hingga 17 November 2025 antara pukul 10 pagi hingga 9 malam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
