Pemilik rumah 'corner lot' tak boleh sesuka hati 'extend' kediaman, ini sebabnya...


  • Hias
  • Jumaat, 14 Nov 2025

Tanah lebihan di lot penjuru tertakluk kepada undang-undang anjakan bangunan minima 20 kaki PBT, ini boleh menyekat impian pengubahsuaian rumah anda. — Gambar hiasan/AI

PERKARA yang ingin diulas mungkin antara dilema biasa menghantui pemilik kediaman lot penjuru.

Tanah lebihan yang terbentang luas di sisi rumah, namun impian membuat renovasi atau pengubahsuaian terhalang oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ramai yang pelik, mengapa tanah milik sendiri tidak boleh digunakan sepenuhnya?

BACA LAGI: Kawasan kediaman Jepun pentingkan privasi, jangan terkejut diserbu polis gara-gara pintu berbunyi

BACA LAGI: [VIDEO] Elak kahwin lelaki '2 alam', perkahwinan 'lavender' risiko kena HIV, penyakit kelamin

Menurut perkongsian daripada platform perancangan hartanah, Cantikwall, jawapannya terletak pada peraturan penting yang sering terlepas pandang iaitu Anjakan Bangunan atau setback oleh majlis tempatan.

Kegagalan memahami garis panduan itu boleh menyebabkan permohonan lanjutan ditolak serta-merta.

Isu utama membelenggu pemilik lot penjuru adalah undang-undang PBT yang mewajibkan kediaman mempunyai jarak anjakan minima ditetapkan.

Secara umumnya, rumah lot penjuru diwajibkan untuk mengekalkan jarak minima 20 kaki dari sempadan tanah ke struktur bangunan.

Peraturan itu, yang termaktub dalam garis panduan perancangan bandar adalah mandatori.

Jika rumah itu adalah rumah teres biasa, anjakan itu mungkin hanya perlu dipatuhi di bahagian belakang atau hadapan.

Namun begitu, bagi lot penjuru, ia meliputi sisi yang menghadap jalan atau ruang awam lain.

Tanah lebihan yang dilihat sebagai 'rezeki' untuk membesarkan rumah sebenarnya adalah zon anjakan dilindungi.

Tanah luas di lot penjuru bukan lesen untuk ubah suai jika melanggar garis panduan anjakan PBT. — Gambar hiasan/AI

Walaupun pemilik berbangga dengan tanah tambahan yang dimiliki, tanah tersebut tidak boleh dianggap sebagai ruang sedia ada untuk dibina sewenang-wenangnya.

Dalam banyak kes, walaupun keluasan tanah lot penjuru adalah jauh lebih luas berbanding lot tengah, permohonan untuk melanjutkan atau mengubah suai rumah akan terus ditolak sekiranya rekaan lanjutan tersebut menceroboh zon anjakan ditetapkan.

Jika struktur baharu yang dicadangkan melanggar sempadan 20 kaki tersebut, permohonan akan diletakkan di bawah kategori 'gagal mematuhi garis panduan' dan tidak akan diproses.

Anjakan bangunan ini bukanlah sekadar syarat yang dikenakan sesuka hati oleh majlis perbandaran.

Sebaliknya, ia adalah peraturan kritikal yang berkait rapat dengan keselamatan dan kesejahteraan awam.

Jarak anjakan ini diwajibkan untuk tiga sebab utama:

1. Laluan Kecemasan: Anjakan 20 kaki adalah penting bagi menyediakan ruang yang cukup untuk laluan kenderaan kecemasan seperti jentera bomba dan ambulans, terutamanya dalam situasi kebakaran atau bencana alam.

2. Pencahayaan semula jadi: Ia memastikan kediaman di sebelah lot penjuru serta rumah itu sendiri menerima pencahayaan semula jadi yang mencukupi.

3. Pengudaraan: Anjakan membantu pengaliran udara yang baik, mengurangkan risiko pemanasan melampau dan masalah kelembapan dalam bangunan.

Sekiranya anjakan ini dikompromi dengan pembinaan struktur tambahan, ia bukan sahaja meletakkan pemilik dalam risiko tindakan undang-undang, malah membahayakan keselamatan jiran-jiran terdekat.

Bagi mengelakkan kekecewaan dan kerugian besar, Cantikwall menasihati bakal pembeli atau pemilik lot penjuru agar merancang awal sebelum membuat sebarang keputusan pembelian atau pengubahsuaian.

Sangat penting untuk menyemak terlebih dahulu pelan rasmi dan garis panduan yang dikeluarkan oleh PBT bagi kawasan perumahan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram