JEPUN terkenal dengan kebudayaan yang mementingkan ketenteraman dan disiplin, termasuklah dalam isu privasi kediaman.
Tahap kesensitifan jiran di negara matahari terbit itu dikatakan sangat tinggi, sehingga aktiviti harian biasa dilakukan di rumah pun boleh mengundang aduan serius.
Seorang lelaki berkongsi pengalamannya menerusi platform Facebook RakuRide.com, mendedahkan realiti sebenar apabila menyewa kediaman jangka pendek, seperti Airbnb di kawasan perumahan biasa di Jepun.
BACA LAGI: Rumah pusaka terbiar sedekad, gara-gara adik-beradik perempuan enggan pakcik tuntut bahagiannya
BACA LAGI: Maiya kongsi nama muslim Liana Alara, Ben Amir syukur kekasih Filipina peluk Islam
Menurut perkongsian beliau, isu utama yang sering timbul adalah berkaitan bunyi bising.
"Kawasan rumah orang biasa di Jepun ini memang tidak boleh bising. Jadi, kadang-kadang bila kita bising, mereka akan laporkan kepada tuan rumah," katanya.
Lelaki itu menjelaskan, 'bising' yang dimaksudkan bukanlah sehingga ke tahap membuat parti atau muzik yang kuat.
Sebaliknya, ia adalah bunyi yang dianggap normal bagi kebanyakan negara lain.
"Bising macam bila kita buka pintu. Naik tangga. Itulah, Jepun ini privasi dia tinggi sedikit. Benda itu biasalah. Kita balik rumah mesti dengar buka pintu, buka kasut, naik tangga. Itu pun boleh jadi isu," tambahnya.
Beliau menekankan bahawa privasi di Jepun adalah satu budaya yang dipegang teguh.
Walaupun jiran hanya melaporkan kepada tuan rumah pada mulanya, ia boleh meningkat kepada kes yang lebih serius.
"Kadang-kadang, kes yang lebih teruk, mereka akan lapor pada polis. Jadi, polis datang. Polis hanya beritahu suruh diam sahaja. Tak ada apa pun yang boleh dibuat. Sebab benda itu tak adalah sampai tahap jenayah," ulasnya.
Namun, hakikat bahawa polis boleh dipanggil hanya kerana bunyi buka pintu dan menapak di tangga menunjukkan betapa sensitifnya masyarakat Jepun terhadap isu bunyi bising dalam kawasan perumahan mereka.
Jepun memang terkenal dengan budaya senyap dan menghormati ruang peribadi yang sangat tinggi, terutamanya di kawasan kediaman bandar padat.
Dalam banyak kes, aduan bunyi bising sering melibatkan perincian bunyi yang dianggap remeh seperti bunyi mesin basuh, langkah kaki atau suara perbualan yang agak kuat.
Undang-undang dan etika perumahan di Jepun secara umumnya sangat ketat terhadap apa yang dipanggil 'pencemaran bunyi hidup' (seikatsu soon), yang termasuk bunyi dihasilkan daripada aktiviti harian biasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
