KAUM wanita dinasihatkan untuk tidak mudah akur dan berhati-hati sebelum membuat keputusan berkahwin dengan lelaki yang dikenal pasti sebagai golongan 'dua alam' atau biseksual.
Khususnya dalam trend baharu digelar ‘Perkahwinan Lavender’ yang kini didapati semakin berleluasa di Malaysia.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr. Aishah Abas, mendedahkan trend itu bukan sahaja membahayakan kesihatan mental dan emosi wanita.
BACA LAGI: Kawasan kediaman Jepun pentingkan privasi, jangan terkejut diserbu polis gara-gara pintu berbunyi
BACA LAGI: Reka hias acara penuh estetik kini 'trending', Kunyahan tarik perhatian Gen Z hingga kerabat diraja
Malah, ia boleh meletakkan mereka dalam risiko jangkitan penyakit yang membawa maut.
Dalam satu perkongsian video yang tular di media sosial, Dr. Aishah menyuarakan kebimbangan serius berdasarkan pemerhatian kakitangannya yang menguruskan klinik HIV.
"Staf saya pembantu perubatan menjaga klinik HIV memaklumkan bahawa trend perkahwinan lavender semakin banyak di Malaysia. Perkahwinan ini (lavender) sebenarnya melibatkan individu homoseksual (lelaki dengan lelaki) yang mencari pasangan wanita lain untuk dijadikan isteri," jelasnya.
Menurut Dr. Aishah, perkahwinan tersebut selalunya didorong oleh tekanan sosial, stigma masyarakat atau desakan keluarga bagi 'menutup' orientasi seksual sebenar si lelaki.
Keadaan itu akhirnya menyebabkan lelaki tersebut menjadi individu biseksual, yang mana masih mengamalkan homoseksual pada masa sama berkahwin dengan pasangan berlainan jantina.
"Biasanya kes yang kami jumpa, ramai biseksual mempunyai isteri, tetapi pada masa sama ada pasangan homoseksual lain. Isunya, isteri tidak tahu dan ia dilakukan secara senyap-senyap," tambahnya.
Namun, dalam kes perkahwinan lavender yang lebih membimbangkan, Dr. Aishah mendedahkan bahawa bakal isteri itu sebenarnya tahu mengenai kecenderungan homoseksual pasangannya, namun tetap memilih untuk meneruskan perkahwinan.
Dr. Aishah memberi amaran keras kepada wanita yang berada dalam situasi itu bahawa risiko dihadapi adalah jauh lebih besar daripada sekadar kesan suami berlaku curang dengan wanita lain.
"Para wanita di luar sana, hal-hal berkaitan seperti perkahwinan lavender adalah benda sangat berisiko," tegasnya.
Risiko utama adalah pendedahan kepada Penyakit Jangkitan Seksual (PJS), terutamanya jangkitan Virus Kurang Daya Tahan Manusia (HIV) yang boleh dibawa pulang oleh suami daripada pasangan homoseksual lain dan kemudian menjangkiti isteri.
"Ini menyebabkan risiko kepada bakal suami anda mungkin ada risiko HIV pada dia. Daripada masa sama, risiko HIV itu akan dibawa kepada anda. Bukan risiko HIV sahaja, tetapi penyakit-penyakit berjangkit yang lain, terutamanya penyakit jangkitan seksual (penyakit kelamin)," ujar Dr. Aishah.
Beliau turut menekankan bahawa risiko jangkitan itu boleh berlanjutan kepada zuriat. "Kalau anda mengandung, anak anda pun boleh dapat penyakit yang sama," katanya.
Menguatkan fakta perubatan, Dr. Aishah menegaskan statistik menunjukkan: "Ingatlah, homoseksualiti ada 18 kali risiko untuk mendapat HIV berbanding pasangan heteroseksual. Sangat berisiko aktiviti ini."
Beliau menggesa wanita untuk berfikir panjang dan membuat pertimbangan yang sangat teliti.
"Fikir banyak-banyak. Risiko bukan macam lelaki itu ada wanita lain. Ia lebih teruk daripada itu." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
