Maiya kongsi nama muslim Liana Alara, Ben Amir syukur kekasih Filipina peluk Islam


  • Cinta
  • Selasa, 11 Nov 2025

Maiya yang kini dikenali sebagai Liana Alara meluahkan rasa syukur selepas sah memeluk agama Islam. — Threads/Maiya

KEGEMBIRAAN berganda buat pelakon popular, Ben Amir apabila bakal isterinya, seorang wanita asal Filipina, disahkan telah memeluk agama Islam baru-baru ini.

Wanita yang dikenali sebagai Maiya itu berkongsi momen istimewa tersebut di platform media sosialnya, meluahkan rasa syukur atas lembaran baharu dalam hidupnya.

Menerusi hantaran tersebut, Maiya yang kini dikenali dengan nama Islamnya, Liana Alara, mengucapkan Alhamdulliah untuk perjalanan baharu.

BACA LAGI: Sisa robohan pusat beli-belah dibina semula jadi rumah kaca, kini megah bertaraf ikonik

BACA LAGI: [VIDEO] Sendukkan lauk ke pinggan isteri setiap kali makan, rahsia romantik ayah 92 tahun kekal sihat

"Alhamdulillah untuk permulaan baharu ini. Bersyukur atas semua kasih sayang dan kehadiran anda pada hari istimewa saya.

"Nama muslimah saya ialah Liana Alara, nama yang membawa makna baharu, kedamaian dan cahaya dalam lembaran hidup saya ini," katanya di media sosial.

Sebelum ini, Ben Amir terlebih dahulu berkongsi perkhabaran gembira itu menerusi akaun Instagram miliknya, memuat naik video pendek yang merakamkan bakal isterinya mengenakan tudung sambil memegang dokumen bertulis ‘Maklumat Masuk Islam’.

Pelakon berusia 35 tahun itu menitipkan kata-kata semangat dan doa buat pasangannya.

"Selamat datang ke Islam. Ambillah masa, pelajari sedikit demi sedikit, nikmati keindahannya, dan ketahuilah bahawa kamu tidak pernah bersendirian.

"Semoga Allah sentiasa melindungimu dengan penuh kasih sayang. Moga perjalanan ini membawamu lebih dekat kepada kedamaian, tujuan hidup, dan dirimu yang sebenar,” tulis Ben dalam hantaran tersebut.

Ruangan komen di hantaran Ben dibanjiri dengan ucapan tahniah dan doa daripada peminat serta rakan artis yang turut tumpang gembira dengan keputusan pasangan itu.

Terdahulu, Ben Amir mengakui hatinya telah dimiliki oleh seorang wanita dari Filipina yang mula dikenali sejak dua tahun lalu, sebelum wanita tersebut mengambil keputusan mulia memeluk agama Islam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram