Anak lahir di luar negara hasil perkahwinan ibu rakyat Malaysia dan bapa warga asing bakal terima kerakyatan automatik


  • Cinta
  • Jumaat, 14 Nov 2025

Proses untuk memberi kewarganegaraan Malaysia secara automatik kepada anak yang dilahirkan di luar negara sedang berjalan lancar— Gambar hiasan

PROSES untuk memberikan kewarganegaraan Malaysia secara automatik kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu rakyat Malaysia yang berkahwin dengan warga asing dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan tahun depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, persiapan teknikal kini berada pada peringkat akhir, termasuk penyediaan borang pendaftaran baharu, kemas kini sistem serta pemakluman kepada semua kedutaan dan pejabat perwakilan Malaysia di luar negara.

Menurut beliau, Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang menyelesaikan semakan akhir terhadap pindaan akta dan peraturan berkaitan, susulan kelulusan pindaan Perlembagaan oleh Parlimen tahun lalu.

“Semakan ini turut melibatkan Peraturan-Peraturan Kewarganegaraan 1964 dan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957,” katanya.

BACA LAGI: Tingkatkan ilmu, belajar cintai diri agar rumah tangga dibina terus harmoni, bahagia — Dr. Muhaya

BACA LAGI: Suami mohon bantuan sunting gambar bersama arwah isteri, jadi kenangan manis untuk anak yang baru setahun kehilangan ibu

Hak automatik selepas pindaan berkuat kuasa

Dengan pelaksanaan pindaan itu nanti, anak yang lahir di luar negara kepada ibu Malaysia dan bapa warga asing akan terus layak menerima kewarganegaraan Malaysia secara automatik sama seperti hak yang selama ini hanya diberikan kepada anak hasil perkahwinan bapa Malaysia dengan warga asing.

“Ibu yang tinggal di luar negara hanya perlu mendaftarkan kelahiran anak di kedutaan. Sijil kelahiran yang dikeluarkan kelak akan mengesahkan status mereka sebagai warganegara,” jelasnya.

Pindaan Perlembagaan berkenaan, yang diluluskan Dewan Rakyat pada 17 Oktober tahun lalu dengan majoriti dua pertiga, dianggap sebagai pembetulan penting terhadap ketidaksamaan undang-undang yang menjejaskan ribuan keluarga Malaysia.

Saifuddin turut memaklumkan bahawa kerajaan hampir menyelesaikan lambakan lebih 50,000 permohonan kewarganegaraan yang terkumpul sejak bertahun-tahun.

“Daripada jumlah itu, kira-kira 6,000 kes masih dalam proses semakan. Walaupun baki kecil, kesannya besar kepada masa depan setiap keluarga yang menunggu keputusan,” katanya.

Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai satu kejayaan penting dan memastikan usaha menyelesaikan isu kewarganegaraan rakyat kekal menjadi keutamaan kementerian.  — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram