RASA kecewa dan pilu menyelubungi hati seorang guru, Yatt Ahmad apabila mendapati semakin ramai murid kini hilang minat terhadap pelajaran hingga sanggup menghantar kertas peperiksaan yang terdapat bahagian tidak berjawab.
Menerusi satu hantaran video di Instagram, Yatt berkongsi pengalamannya memeriksa kertas jawapan murid Tahun Empat yang hampir keseluruhan di bahagian belakang dibiarkan kosong.
“Bila exam pun dah tak serius, malas jawab, biar kosong. Tanpa rasa bersalah hantar kertas kosong pada cikgu.
"Bahagian penulisan belakang ini boleh katakan semua tak jawab langsung. Kamu memang tak ada usaha nak belajar,” katanya.
Menurut Yatt, sikap sambil lewa murid terhadap pelajaran amat membimbangkan kerana ia mencerminkan betapa lemahnya semangat menuntut ilmu dalam kalangan generasi muda.
“Ini murid darjah empat, bukan darjah satu. Hati kamu tak ada langsung rasa nak belajar. Bila minggu peperiksaan, mintalah tolong mak, minta tolong ayah,” katanya lagi.
Beliau turut berkongsi rasa sedih apabila ramai anak murid mengaku tidak ditemani ibu bapa ketika belajar di rumah.
“Mak ayah kamu tak teman ke belajar? Kalau mak sibuk, pergi ke ayah. Kita kena ada usaha kalau nak berubah,” tegasnya.
Yatt menjelaskan, rakaman itu bukan sekadar teguran kepada anak didiknya, tetapi juga peringatan buat dirinya dan para ibu bapa.
“Saya cikgu dan saya juga ibu yang ada anak bersekolah. Kesian dengan anak-anak sekarang,” tulisnya.
Luahan Yatt itu menerima pelbagai reaksi daripada warga maya yang rata-ratanya bersetuju dengan pandangan beliau mengenai sikap pelajar masa kini.
Seorang pengguna, Aira Bibah berkata, kegagalan pelajar untuk memberi tumpuan terhadap pelajaran turut berpunca daripada kurangnya perhatian ibu bapa di rumah.
“Mak ayah pun sibuk main telefon juga. Allahuakbar, sian anak-anak. Terima kasih cikgu, peringatan untuk kami juga,” tulisnya.
Sementara itu, guru lain, Nur Muhammad berkongsi pengalaman hampir sama ketika mengajar pelajar menengah rendah. Katanya, sikap acuh tak acuh terhadap pelajaran bukan lagi hal terpencil.
“Saya ajar Tingkatan 1 dan 2 pun sama. Karangan nampak panjang, tapi bila semak, semua hanya salin semula soalan. Lagi teruk, bila edar soalan, ada yang tanya ‘Cikgu, sekarang exam apa?’," katanya.
Bagi pengguna lain, Anis Sufian, masalah ini berpunca daripada ketiadaan matlamat jelas dalam diri pelajar masa kini.
Katanya, tanpa peperiksaan besar seperti PMR, pelajar mulai belajar tanpa hala tuju sehinggakan belajar hanya menjadi rutin kosong tanpa nilai perjuangan.
“Mereka tak ada goal. Dulu kita belajar bersungguh sebab tahu UPSR, PMR, SPM itu penting dan sekali seumur hidup,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Kh_ruly, pula mengimbas zaman persekolahannya yang sarat dengan semangat bersaing dan keinginan untuk membanggakan ibu bapa.
“Dulu mak ayah tak pernah teman belajar pun, tapi kita tetap buat homework sebab nak skor exam dan banggakan mereka. Sekarang belajar sekadar pergi sekolah sebab disuruh,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
