'Kahwin kerana cinta, cerai kerana realiti', peguam syarie dedah ramai hanya sedari pentingnya sekufu selepas bernikah


  • Cinta
  • Jumaat, 14 Nov 2025

Peguam syarie mendedahkan faktor 'kufu' sering diabaikan sebagai punca utama mengapa ramai pasangan berkahwin kerana cinta akhirnya memilih untuk bercerai. — Gambar hiasan/AI

PENINGKATAN mendadak kes perceraian yang disaksikan di Mahkamah Syariah baru-baru ini membimbangkan orang ramai.

Tular di media sosial sejak kebelakangan ini seperti kes perceraian pasangan selebriti yang didakwa berpunca daripada satu faktor utama sering dipandang remeh oleh pasangan iaitu 'kufu' atau kesepadanan.

Peguam Syarie, Fahmi Ramli, menerusi perkongsian di laman Facebook beliau, menyatakan bahawa ramai pasangan muda kini berdepan perpisahan kerana tidak mengambil berat isu kesepadanan sejak awal perhubungan.

BACA LAGI: Wanita dicerai talak tiga, kahwini bapa kepada 'penyondol' bekas suaminya

BACA LAGI: Pemilik rumah 'corner lot' tak boleh sesuka hati 'extend' kediaman, ini sebabnya...

Menurutnya, walaupun cinta dan kasih sayang itu penting namun realiti kehidupan berumah tangga memerlukan lebih daripada perasaan semata-mata.

"Bila diamati betul-betul, saya terfikir ada satu perkara yang saya boleh kongsikan. Saya lihat daripada beberapa kes perceraian yang tular, ada yang perceraian berlaku kerana tidak sekufu.

"Ramai orang tidak ambil berat sangat isu ini. Yang penting cinta. Bukan tidak penting soal cinta dan kasih sayang, tetapi bila masuk alam rumah tangga, banyak hal yang melibatkan perkara lebih realistik akan diutamakan," jelasnya.

Walaupun cinta dan kasih sayang itu penting namun realiti kehidupan berumah tangga memerlukan lebih daripada perasaan semata-mata. — Gambar hiasan/AI

Fahmi memberikan contoh perkara realistik yang sering menjadi punca perpecahan rumah tangga, termasuklah perbezaan pendapatan, perbezaan taraf pendidikan, dan gaya fikiran.

"Saya pernah lihat di Mahkamah, orang bercerai kerana suami tidak faham kerja yang isteri lakukan kerana beza komitmen dan jurang pendidikan.

"Ya lah, si suami setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala isteri memegang Ijazah Sarjana (Master). Beza itu,” kongsi Fahmi.

Beliau secara peribadi percaya ramai pasangan kini bercerai kerana tidak sekufu sejak awal lagi.

Peguam Syarie itu turut menjelaskan maksud dan asas konsep Kufu dalam Islam yang bermaksud kesetaraan atau kesepadanan antara suami dan isteri dari segi perkara-perkara tertentu.

Konsep Kufu yang diiktiraf oleh syarak supaya perkahwinan dapat kekal dalam keadaan harmoni dan saling menghormati.

Secara umumnya, Kufu dinilai berdasarkan empat perkara utama:

Agama dan akhlak: Aspek paling utama dalam penilaian Kufu.

Nasab atau keturunan: Diambil kira jika melibatkan perbezaan darjat sosial yang besar yang boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga.

Status kemerdekaan: Tidak relevan pada masa kini.

Pekerjaan dan ekonomi: Penting kerana tanggungjawab nafkah adalah kewajipan suami.

"Tujuan konsep Kufu bukan untuk menghalang perkahwinan, tetapi untuk mengelakkan konflik, menjamin kebahagiaan dan kestabilan rumah tangga, serta menjaga maruah wanita dan keluarganya."

Beliau menyimpulkan, walaupun mencari pasangan yang sempurna itu sukar, terdapat hikmah mengapa Islam sangat menekankan soal Kufu ini sebagai faktor penting.

"Perkahwinan bukan perkara yang boleh dibuat main-main. Ramai yang bercerai kerana tidak pandang serius perkara ini. Akhirnya, mereka fikir bila sudah kahwin nanti boleh bertolak ansur dengan kelemahan masing-masing.

"Tetapi hakikatnya lebih sukar untuk diterjemah. Semoga yang belum berkahwin, dapat menilai betul-betul bab Kufu ini sebelum lanjut ke alam perkahwinan. Jangan hanya kita berkahwin kerana cinta, akhirnya bercerai kerana realiti," nasihat beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram