SIAPA sangka, perkhidmatan 'aesthetic concept stall' atau reruai berkonsep estetik yang unik dan berbeza mampu mengangkat nama sebuah perniagaan perancang acara sehingga menarik perhatian kerabat diraja.
Inilah perkongisan Kunyahan, jenama yang kini menjadi sebutan dalam industri perancangan majlis di Malaysia.
Dalam satu temu bual eksklusif bersama Majoriti, pengasas jenama ini, yang hanya mahu dikenali sebagai Kunyahan, berkongsi rahsia di sebalik kejayaan mereka.
BACA LAGI: Sisa robohan pusat beli-belah dibina semula jadi rumah kaca, kini megah bertaraf ikonik
Ini terutamanya dalam mencipta reruai yang bukan sahaja praktikal, tetapi juga berkonsep seni.
Menurut Kunyahan, falsafah utama yang dipegang jenama itu adalah memastikan setiap reruai yang disediakan sentiasa estetik, bersih dan praktikal.
"Untuk Kunyahan, dalam setiap acara yang kita buat, kita akan pastikan kita mengetengahkan nombor satu, budaya dan juga konsep yang diminta oleh pelanggan kita," katanya kepada Majoriti.
Apa yang membezakan Kunyahan dengan perancang acara lain adalah fokus mereka terhadap rekaan reruai yang menarik dan boleh menyesuaikan diri dengan pelbagai tema.
"Kebiasaannya, kami akan pastikan reruai kami sentiasa estetik dan lain daripada lain. Maksudnya, menarik, 'presentable' dan juga bersih. Paling penting, praktikal dan 'friendly'," tambahnya.
Beliau mendefinisikan sesebuah acara itu sempurna apabila pelanggan mereka berpuas hati dan gembira.
"Maksudnya, apa yang pelanggan impikan, mereka dapat pada hari kejadian," ujar Kunyahan ringkas.
Dalam konteks Malaysia dengan kaya budaya, Kunyahan memilih untuk mengekalkan struktur reruai yang moden, tetapi memperincikannya dengan elemen tradisional atau perincian yang mendalam mengikut tema majlis.
"Kebiasaannya struktur kami moden, praktikal dan boleh adaptasi dengan banyak tema. Tetapi, pada setiap detail, kami akan masukkan elemen-elemen tradisional, contohnya pada pinggan hidangan, dekorasi dan juga makanan," katanya.
Mengulas mengenai trend semasa, beliau melihat permintaan tertinggi kini didominasi oleh acara perkahwinan, diikuti rapat oleh majlis peribadi dan korporat.
"Trend sekarang semua orang nak yang estetik. Khususnya untuk pengantin Generasi Z, mereka nak yang minimalis, berkonsep dan ringkas. Walaupun 'simple', tapi ia berkonsep dan ada nilai," kongsinya.
Antara pengalaman paling manis yang tidak dapat dilupakan oleh Kunyahan adalah apabila reruai mereka mendapat perhatian dari kalangan orang kenamaan (VVIP) dan kerabat diraja.
"Banyak pengalaman manis, tetapi yang paling manis adalah bila acara kami dihadiri oleh VVIP, artis dan kerabat," ujar Kunyahan dengan nada teruja.
Beliau berkongsi satu peristiwa cukup istimewa yang berlaku di Equestrian Putrajaya.
"Satu acara dekat Equestrian Putrajaya, Alhamdulillah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan Sultanah Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli, merasai cendol dan 'popcorn' yang kami sediakan. Kami dapat 'feedback' yang baik, itulah pengalaman paling manis sepanjang kami berkhidmat."
Dalam menguruskan jangkaan pelanggan, terutamanya yang bercanggah dengan bajet, Kunyahan mengamalkan pendekatan komunikasi dua hala yang jelas dan telus.
"Dari awal, kami kena jelas apa yang pelanggan nak dan apa yang kami boleh bagi. Pentingnya komunikasi dua hala supaya pelanggan dapat apa dia nak dan kami mampu beri apa yang diminta," tegasnya.
Untuk masalah bajet dan kesesuaian lokasi, Kunyahan mengambil langkah proaktif dengan turun padang.
"Sekarang pendekatan kami, kami akan turun tengok tempat terlebih dahulu. Ini penting supaya kami dapat 'clear picture' apa yang pelanggan mahu dan memastikan lokasi itu sesuai dengan bajet yang mereka ada. Dulu, kami tak buat 'site visit', lepas itu terkejut, apa yang kami bayangkan lain dengan realiti di hari kejadian," akuinya jujur.
Beliau turut menasihatkan bakal pelanggan supaya tahu dan jelas apa yang mereka mahu sebelum melantik perancang acara, supaya proses perancangan lebih mudah dan teratur.
Cabaran terbesar pasca-pandemik yang dihadapi Kunyahan bukanlah kenaikan kos, tetapi isu 'ciplak idea' oleh vendor lain.
"Cabaran terbesar bila kami berjaya mencipta satu 'look' yang disukai 'audience' dan kemudian ada vendor lain yang meniru 'look' itu," katanya.
Melihat ke hadapan, Kunyahan berharap jenama itu akan mempunyai ruang pejabat sendiri dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.
"Kami mahu ada 'own space' yang cantik, yang ada vibe, mudah dilihat pelanggan, supaya kami boleh terus berkarya," akhiri beliau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
