Rumah pusaka terbiar sedekad, gara-gara adik-beradik perempuan enggan pakcik tuntut bahagiannya


  • Hias
  • Selasa, 11 Nov 2025

Fahmi kongsi tentang rumah pusaka terbiar lebih sedekad di Sungai Petani akibat isu tuntutan bahagian pusaka oleh pak cik kepada pewaris utama. — Gambar hiasan/AI

ISU pengurusan harta pusaka yang tergendala sering kali berlaku dalam masyarakat kita.

Salah satu perkongsian oleh Peguam Syarie, Fahmi Ramli di Facebook, mengenai pengalaman beliau melihat sendiri sebuah rumah besar terbiar lebih 10 tahun akibat isu faraid.

Semasa menyewa di kawasan Sungai Petani, Kedah suatu ketika dahulu, Fahmi sering melihat sebuah rumah teres jenis 'corner lot' yang luas dan terletak di lokasi strategik, namun kosong tidak berpenghuni.

BACA LAGI: [VIDEO] Sendukkan lauk ke pinggan isteri setiap kali makan, rahsia romantik ayah 92 tahun kekal sihat

BACA LAGI: Maiya kongsi nama muslim Liana Alara, Ben Amir syukur kekasih Filipina peluk Islam

Beliau pernah berhasrat untuk membeli rumah tersebut, tetapi tidak mengetahui siapa pemilik sahnya.

"Hinggalah pada Hari Raya Aidilfitri yang ketiga waktu itu, ada satu keluarga datang dan mencuci rumah tersebut. Saya gunakan peluang itu untuk berjumpa dan bertanya," kata Fahmi berkongsi kisah.

Lelaki yang ditemuinya menceritakan bahawa rumah itu adalah milik arwah ibu mertuanya yang telah meninggal dunia sejak lima tahun lalu.

Masalahnya, isteri lelaki itu dan adik-beradik lain enggan menguruskan Pengurusan Harta Pusaka arwah ibu mereka.

"Saya tanya mengapa? Mungkin saya boleh bantu mereka ketika itu. Rupanya, arwah ibu mertuanya hanya mempunyai tiga orang anak perempuan sahaja ketika hayatnya. Abang kepada anak-anak perempuan tersebut (pak cik mereka) hendak menuntut juga bahagiannya secara pusaka," jelasnya.

Lelaki yang ditemuinya menceritakan bahawa rumah itu adalah milik arwah ibu mertuanya yang telah meninggal dunia sejak lima tahun lalu. — Gambar hiasan/AI

Menurut hukum faraid, apabila si mati hanya meninggalkan waris anak perempuan tanpa anak lelaki, anak-anak perempuan akan mendapat dua pertiga bahagian harta pusaka secara kongsi. Baki selebihnya akan jatuh kepada waris lelaki Asabah, yang dalam kes ini adalah saudara lelaki si mati (pak cik kepada pewaris perempuan), kerana suami dan bapa si mati telah meninggal dunia terlebih dahulu.

Disebabkan keengganan berdepan dengan tuntutan baki oleh pak cik mereka itulah, urusan pusaka itu tergendala, menyebabkan rumah tersebut kekal beku.

Fahmi mempersoalkan, sampai bila pewaris mahu menunggu masalah ini selesai.

"Kalau nak tunggu pak cik tersebut meninggal, ia tetap tidak akan selesai kerana anaknya masih tetap ada bahagian. Jika anak perempuan itu pula yang mati dahulu sebelum pak ciknya, bukankah itu akan lebih menyusahkan anak-anak?" tegasnya.

Pada pandangan beliau, proses perundangan pusaka perlu juga dilalui agar harta itu tidak terus terbiar.

Penyelesaiannya adalah sama ada rumah tersebut perlu dijual dan hasil jualan dibahagikan mengikut faraid atau adik-beradik perempuan itu perlu mengumpul wang dan membayar bahagian pak cik mereka untuk menebus rumah tersebut.

Beliau mengakui terdapat sebilangan pihak yang mahukan harta pusaka, walaupun sepanjang hayat si mati mereka tidak pernah sekalipun mengambil peduli tentang kebajikan si mati dan anak-anaknya.

"Kita terpaksa akur, proses perundangan yang terpaksa dilalui bagi membolehkan harta tersebut tidak beku begitu sahaja," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram