ALASAN hanya mahu berjimat akhirnya memakan diri apabila sepasang lelaki dan wanita yang masing-masing sudah berumah tangga dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas disyaki berkhalwat di sebuah hotel di Johor awal pagi Rabu.
Difahamkan, pasangan berusia 40-an dan 50-an itu sanggup menunggang motosikal lebih 600 kilometer dari negeri asal untuk ke Kluang dengan alasan mahu berjumpa seseorang.
Namun, tindakan mereka menimbulkan syak apabila enggan membuka pintu bilik hotel meskipun penguat kuasa mengetuk hampir 15 minit.
BACA LAGI: Jangkitan HIV di Malaysia catat penurunan, trend akibat hubungan sejenis naik 2 peratus
BACA LAGI: Bayi lahir tanpa otak rai ulang tahun ke-20, doktor pernah jangka hayat hanya 4 tahun
Situasi itu akhirnya memaksa pegawai menggunakan kunci pendua daripada pihak hotel bagi melakukan pemeriksaan.
Sebaik pintu dibuka, pasangan berkenaan dilaporkan lengkap berpakaian namun kelihatan cemas.
Mereka kemudian mengaku tidak mempunyai sebarang hubungan mahram, sebaliknya memberi alasan sekadar menumpang tidur di bilik sama bagi menjimatkan kos.
Menurut sumber, pemeriksaan turut menemui cadar dan bantal di lantai yang dikatakan tempat tidur lelaki tersebut, manakala wanita berkenaan tidur di atas katil.
Operasi yang berlangsung antara pukul 11 malam hingga 3 pagi itu turut membawa kepada beberapa tangkapan lain di hotel berasingan sekitar bandar tersebut.
Antara yang ditahan termasuk pasangan duda dan wanita bujang berusia 30-an, selain pasangan muda dalam lingkungan 20-an yang mengaku bertemu selepas mendapat gaji.
Turut dicekup, seorang wanita dari Muar yang datang menghadiri majlis perkahwinan rakannya dan ditemani seorang lelaki atas alasan berasa sunyi tinggal seorang diri di bilik hotel.
Semua yang ditahan dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
