Terkenang hati mulia ibu mentua selepas 6 tahun pergi, rajin bantu kerja rumah, nasihati suami bila berselisih, penuhi setiap 'craving' menantu


  • Cinta
  • Selasa, 11 Nov 2025

Seorang wanita terkenang detik bahagia bersama ibu mentuanya yang penyayang. — Gambar Hiasan

ENAM tahun sudah berlalu sejak pemergian ibu mentua tersayang, namun kenangan bersama insan berhati mulia itu masih segar dalam ingatan Nurhafizah Razali.

Dalam satu hantaran di Facebook, Nurhafizah berkongsi kisah kehidupannya bersama ibu mentua yang dianggap seperti ibu kandung sendiri, yang banyak membantunya ketika suami bekerja jauh dan dirinya baru bergelar ibu muda.

“Selepas arwah ayah mentua meninggal dunia, mak ambil keputusan ikut saya ke Kuala Lumpur untuk bantu jaga cucu dan temankan saya, sebab masa tu saya PJJ (perhubungan jarak jauh) dengan suami,” tulisnya.

BACA LAGI: Cuaca sangat panas, cuma saya masih mahu beraksi bersama Malaysia — Laikha Macwilson

BACA LAGI: 'Saya dilahirkan di England tetapi berdarah warisan Malaysia', adik Zahirah Macwilson muncul jurulatih bola sepak terbaik di Australia

Menurut Nurhafizah, ibu mentuanya yang ketika itu sudah berusia lebih 70 tahun tetap rajin membantu menguruskan rumah tangga, memasak serta menjaga cucu dengan penuh kasih sayang.

"Saya akan pastikan bangun lebih awal sebab kalau saya lambat, mak akan dah siap basuh baju. 

"Balik kerja, mak sudah siap masak. Petang pula saya bawa mak makan roti canai dan bawa anak ke taman. Malam kami tengok televisyen sama-sama, sambil saya urut kaki mak,” kongsinya.

Wanita itu turut mengimbas detik pilu apabila mak mentuanya sering berpesan ingin melihat cucu kesayangan mereka membesar sebelum dijemput Ilahi.

“Mak pernah cakap, kalau ALLAH nak ambil mak, biarlah masa tu kakak (anak sulung saya) dah pandai bawa diri. Tetapi bila dia pergi waktu anak saya mula masuk sekolah, saya sangat terasa kehilangan itu,” katanya.

Ibu mentuanya sering membantu menyediakan makanan buat menantu dan cucu kesayangannya. — Gambar Hiasan

Sepanjang enam tahun tinggal bersama, Nurhafizah mengakui ibu mentuanya bukan sahaja penyayang, malah tegas dalam mendidik anak lelaki sendiri, iaitu suaminya.

“Setiap kali saya berselisih faham dengan suami, mak macam boleh rasa. Dia akan tegur anak bongsunya tu. Mak memang selalu berpihak kepada kebenaran, bukan semata-mata pada anak sendiri,” tulisnya lagi.

Tambahnya, ketika mengandung, arwah ibu mentua amat prihatin terhadap dirinya.

“Asal sebut saja saya teringin nak makan apa, mak akan usahakan atau paksa suami cari. Dia benar-benar jaga saya macam anak sendiri,” katanya.

Gambar yang dimuat naik bersama hantaran itu menunjukkan detik bahagia arwah ibu mentua mendukung cucu sulung mereka di Bazar Ramadan, Jalan Kuching, Kuala Lumpur pada 9 Julai 2015.

Perkongsian tersebut menyentuh hati ramai warga maya yang turut berkongsi pengalaman bersama mertua masing-masing di ruangan komen.

Seorang pengguna, Azizah Mohamed beranggapan bahawa tidak semua mertua bersikap negatif.

“Saya dulu pun tinggal dengan menantu perempuan. Pasal kerja rumah, saya tak kisah, siapa boleh buat, buat sajalah. Saya anggap menantu macam anak sendiri. Yang penting anak dan cucu bahagia,” katanya.

Sementara itu, Shafarinaarsad Rina berkongsi pengalamannya tinggal bersama mertua selama 18 tahun dengan penuh kesyukuran. 

Menurutnya, beliau dikurniakan arwah bapa mertua dan ibu mertua yang sangat baik sepanjang tempoh tersebut.

Suaminya merupakan anak kelapan daripada 10 adik-beradik.

“Arwah bapa mertua meninggal dunia ketika anak sulung saya berumur 14 tahun. Ketika itu saya bekerja di kilang dan menjalani shif yang sama dengan suami,” katanya.

Selepas pemergian arwah bapa mertua, Shafarinaarsad dan suami mengambil giliran menukar shif untuk menghantar dan menjaga anak-anak mereka.

“ALLAH mengambil arwah ibu mertua saya tiga tahun lalu ketika anak bongsu saya berumur 10 tahun. Saya yakin ALLAH telah mengatur kehidupan saya dengan baik. Al-Fatihah untuk arwah bapa dan ibu mertua saya,” ujarnya.

Turut tersentuh, Noor Azlina Baharuddin berkata, walau diuji dengan mertua yang sukar, kesabaran tetap menjadi kunci utama dalam rumah tangga.

"Kisah mertuaku sebaliknya, namun ALLAH jadikan mereka ladang pahala buatku. Tetaplah sabar dan sabar meski rasa mustahil atau rasa nak menjerit kepada dunia," katanya. 

Bagi Roszila Ibrahim, dia bersyukur memiliki ibu mentua yang banyak memberi tunjuk ajar dalam kehidupan berumah tangga.

"Alhamdulillah, saya pun bersyukur dapat mak mertua baik. Banyak betul ilmu rumah tangga belajar dari dia.

"Dalam pantang pun bergilir dengan mak saya untuk jaga saya. Mak saya pun selalu pesan hormat mak mertua sebab dia dulu tak rasa ada mak mertua," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram