Bukan sekadar trend, '6-6-6 walking' senaman mudah wanita kekal sihat, bertenaga


  • Gaya
  • Khamis, 13 Nov 2025

Rutin '6-6-6 walking' menjadi langkah mudah wanita mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. — Gambar hiasan/Janaan AI

SETIAP beberapa bulan, pasti ada sahaja kaedah senaman baharu yang menjanjikan penyelesaian kepada gaya hidup individu dengan aktiviti fizikal tertentu.

Salah satunya adalah rutin ‘6-6-6 walking’ yang semakin popular kerana disifatkan membantu menjadikan pergerakan lebih mudah dan mampu dilakukan oleh sesiapa sahaja.

Ia bukan tentang kelajuan atau peluh, tetapi lebih kepada irama, pemulihan dan mengekalkan masa satu jam untuk diri sendiri.

BACA LAGI: Kawasan kediaman Jepun pentingkan privasi, jangan terkejut diserbu polis gara-gara pintu berbunyi

BACA LAGI: Saling kerjasama, suami jaga anak sanggup redah hujan ambil stok susu badan di pejabat isteri

Rutin tersebut menekankan disiplin lebih ringkas dan teratur. — Gambar hiasan/Freepik

Apa itu 6-6-6 walking?

Konsepnya mudah dan tidak memerlukan aplikasi atau jam penggera.

Nombor '6-6-6' merujuk kepada enam minit pemanasan diikuti dengan 60 minit berjalan laju dan ditutup dengan enam minit penyejukan.

Ada juga pengikut yang menambah satu peraturan seperti melakukan rutin itu pada jam 6 pagi atau 6 petang, enam hari seminggu.

Rutin tersebut menekankan disiplin lebih ringkas dan teratur yang sinonim dengan budaya kesihatan di Jepun, iaitu teratur, tenang dan fokus.

Tidak seperti larian atau latihan HIIT, ia tidak memerlukan peralatan, senarai lagu atau aplikasi penjejak aktiviti.

Peraturannya hanyalah konsistensi.

Berjalan laju 2.5 jam seminggu bantu kurangkan risiko kemurungan dan tingkatkan kesihatan mental. — Gambar hiasan/Freepik

Manfaat kesihatan

Berjalan mungkin kelihatan ringan, tetapi ia antara aktiviti paling berkesan untuk membakar tenaga.

Menurut pakar kecergasan Decathlon, satu jam berjalan laju pada kelajuan lima batu sejam boleh membakar sebanyak 610 kalori, menjadikannya cara berimpak rendah tetapi berkesan untuk mengekalkan berat badan sihat tanpa tekanan pada sendi seperti senaman intensif.

Kajian oleh penyelidik Hungary pada 2023 mendapati, berjalan boleh menjadi strategi anti-penuaan yang berkesan, mengurangkan risiko penyakit kronik berkaitan umur seperti hipertensi dan kanser.

Ia juga membantu mengurangkan kesakitan, meningkatkan fungsi otot dan sendi serta menyokong tidur, kesihatan mental dan daya ketahanan.

Satu lagi kajian lain diterbitkan dalam JAMA Psychiatry mendapati, mereka yang berjalan laju selama 2.5 jam seminggu mempunyai risiko kemurungan jauh lebih rendah berbanding mereka yang langsung tidak aktif secara fizikal.

Dengan kata lain, rutin ‘6-6-6 walking’ bukan sekadar trend, ia hanyalah cara teratur untuk melakukan sesuatu yang terbukti berkesan bertahun-tahun.

Mengapa ia semakin popular?

Rutin berkenaan menarik kerana ia mengubah konsep 'disiplin' dalam budaya senaman Jepun menjadi sesuatu yang mesra dan mudah diikuti.

Terdapat struktur 6-6-6, tetapi juga fleksibiliti.

Jika terlepas slot 6 pagi, boleh diganti pukul 6 petang. Jika tidak mampu enam hari seminggu, cukup lakukan apabila berpeluang.

Rahsianya mungkin terletak pada cara rutin ini menjadikan berjalan bukan sekadar aktiviti sampingan, tetapi ritual yang menyegarkan tubuh dan minda, enam minit demi enam minit. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram