MALAYSIA mencatatkan penurunan sebanyak 54 peratus dalam jangkitan baharu HIV sejak 2002 hingga 2024.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pada 2024 sebanyak 3,185 kes baharu HIV dilaporkan di seluruh negara menunjukkan penurunan kecil berbanding 3,222 kes tahun sebelumnya.
Namun begitu, jangkitan HIV yang berpunca daripada hubungan sejenis atau biseksual menunjukkan peningkatan 2 peratus dengan 2,037 kes dilaporkan pada 2024 berbanding 1,995 kes pada 2023.
“Sebaliknya, jangkitan akibat perkongsian jarum suntikan dalam kalangan penagih dadah terus menurun dengan ketara daripada 66 peratus (4,038 kes) pada 2005 kepada hanya 2.7 peratus (87 kes) pada 2023 dan 2.4 peratus (77 kes) pada 2024,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada soalan Zulkifli Ismail (PN–Jasin).
BACA LAGI: Bayi lahir tanpa otak rai ulang tahun ke-20, doktor pernah jangka hayat hanya 4 tahun
Menurut Dr. Dzulkefly, kejayaan besar dalam pengurangan kes dalam kalangan penagih dadah itu berpunca daripada pelaksanaan Program Pengurangan Kemudaratan (Harm Reduction Programme) sejak 2005/2006 yang menekankan pendekatan rawatan dan pencegahan berasaskan komuniti.
Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa penularan HIV dalam kalangan golongan muda dan pelajar kini menjadi kebimbangan utama, sejajar dengan perubahan trend jangkitan yang semakin beralih daripada penyalahgunaan dadah kepada hubungan seksual tidak selamat.
Pakar kesihatan awam sebelum ini juga menyeru supaya langkah pencegahan lebih berani dan bersifat inklusif dilaksanakan, dengan menekankan keperluan pendekatan yang mesra belia, bebas stigma dan disasarkan kepada kumpulan berisiko tinggi.
Menurut mereka, mesej pencegahan yang terlalu umum dan bersifat moralistik tidak lagi berkesan dalam realiti semasa, dan kerajaan perlu beralih kepada strategi yang lebih terbuka serta berasaskan data bagi memastikan usaha membendung HIV terus berjaya. — The Star/ RAHIMY RAHIM/ KHOO GEK SAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
