[VIDEO] Sendukkan lauk ke pinggan isteri setiap kali makan, rahsia romantik ayah 92 tahun kekal sihat


  • Cinta
  • Isnin, 10 Nov 2025

Tangkap layar video ayah Shahida sedang meletakkan lauk di pinggan ibunya walaupun sudah mencecah usia 92 tahun.

WALAU usia sudah mencecah lebih sembilan dekad, kasih sayang lelaki ini terhadap isterinya tetap teguh.

Tambah manis lagi caranya menzahirkan cinta cukup sederhana tetapi penuh menyentuh hati orang ramai.

Baru-baru ini, tular di media sosial apabila seorang wanita dikenali sebagai Shaida M Zin berkongsi momen manis ibu dan bapanya ketika sedang menjamu selera di sebuah restoran.

BACA LAGI: Sisa robohan pusat beli-belah dibina semula jadi rumah kaca, kini megah bertaraf ikonik

BACA LAGI: Langsir penentu suasana kediaman, jadi pencetus 'mood' dari klasik ke moden

Dalam rakaman pendek itu, bapanya yang berusia 92 tahun kelihatan perlahan-lahan meletakkan lauk di atas pinggan ibunya, berusia 81 tahun, sebelum sama-sama menikmati hidangan.

Tindakan kecil itu meraih perhatian ramai pengguna media sosial yang terharu melihat kasih sayang yang masih kekal hingga ke usia emas.

"Ayah saya 92, mak saya 81. Ayah masih lagi letakkan lauk kat pinggan mak saya. Masih ada lagi ke 'gentlemen' macam ini?" tulis Shaida di Threads.

Perkongsian itu bukan saja mencuit hati ramai, malah menimbulkan rasa kagum terhadap tahap kesihatan bapa Shaida yang masih cergas tanpa menggunakan tongkat dan sering keluar berjalan ke kedai.

Menjawab persoalan ramai tentang rahsia ayahnya kekal sihat, Shaida berkongsi beberapa amalan ringkas yang diamalkan lelaki itu sejak muda.

"Dia makan sikit tapi berjadual, suka berjalan kaki pergi kedai, suka buat kerja rumah dan suka membaca.

"Orangnya dari dulu suka 'solve problems' dan 'handyman' dekat rumah. Rokok masa muda sahaja, dah lama berhenti," jelasnya.

Tambah Shaida lagi, bapanya juga sentiasa melakukan regangan ringan setiap pagi dan gemar mendengar kandungan bermanfaat di YouTube untuk mengekalkan kecergasan minda.

Walaupun sudah lanjut usia, pasangan warga emas itu dilihat masih menjaga antara satu sama lain seperti pasangan muda.

Tindakan kecil sang suami meletakkan lauk di pinggan isteri dianggap ramai sebagai simbol kasih sejati bukti bahawa romantik tidak memerlukan hadiah mahal atau kata-kata manis.

Shaida turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan kedua ibu bapanya dan terharu membaca komen orang ramai yang berkongsi pengalaman serupa.

"Terima kasih kepada yang ramai mendoakan 'parents' saya. Gembira juga ramai yang kongsi suami mereka pun macam itu," ujarnya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram