Ibu bapa pilih pendekatan berbeza, didik anak normal saling sayang, sabar layan adik-beradik istimewa


  • Bonda
  • Rabu, 12 Nov 2025

Sesetengah ibu bapa mengambil pendekatan untuk tidak menjelaskan keadaan sebenar anak istimewa mereka kepada anak mereka yang lain.  — Gambar hiasan/Freepik

SETIAP keluarga dikurniakan anak istimewa mempunyai cara tersendiri dalam membesarkan dan mendidik mereka.

Pun begitu, masih terdapat cabaran tersendiri khususnya buat pasangan suami isteri yang turut dikurniakan zuriat normal untuk menjelaskan mengenai kondisi adik-beradik berkeperluan khas.

Namun, terdapat sesetengah keluarga memilih pendekatan memahamkan anak-anak normal secara perlahan-lahan mengikut kemampuan berfikir dan seiring usia.

BACA LAGI: Kecewa bayi sorok muka? 3 tip ibu hamil perlu buat sebelum jalani ultrasound 5D

BACA LAGI: Terduduk lepas dibebani hutang, isteri kaki shopping sedar hikmah dapat suami 'kedekut', jodoh tak sekufu

Ibu bapa perlu mengambil tindakan segera jika perkembangan anak berbeza daripada kebiasaannya. — Gambar hiasan/Freepik

Bagi Azlan, 51, dan isteri, mereka berdua sentiasa membantu anak sulung berusia 11 tahun dan anak kedua berusia 9 tahun untuk memahami keadaan adik mereka, Qistina (bukan nama sebenar) yang berkeperluan khas tanpa menimbulkan kekeliruan atau rasa terlalu tertekan.

Menurutnya, sejak diagnosis ketika Qistina berusia 3 tahun, mereka mula menyesuaikan diri dengan rutin baharu termasuk menghantarnya ke sesterapi dan institusi pendidikan khusus bagi anak istimewa.

Azlan menekankan, anak sulung dan anak keduanya dididik mengenai kesabaran dan kasih sayang terhadap Qistina tanpa menekankan terlalu awal tentang keadaan dialami adik mereka.

"Belum masanya lagi untuk mereka tahu. Mereka akan faham sendiri apabila besar nanti.

"Saya hanya menjelaskan supaya bersabar dan menjaga adik," katanya ketika ditemui Majoriti pada Hari Tahunan Sekolah Pendidikan Khas Taarana 2025 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau berkongsi perkara tersebut ketika ditanya sama ada pernah berdepan situasi kedua-dua anak rasa seolah-olah mendapat perhatian kurang adil berbanding adik mereka.

"Kakak sudah boleh memahami sedikit, tetapi anak kedua pernah berasa adiknya mendapat perhatian lebih," jelas Azlan.

Sementara itu, bagi pasangan Mahathir Hussain, 35, dan Syafinaz Mohd Ramli, mereka mengambil pendekatan dengan meningkatkan kesedaran awal dan penerimaan.

Anak mereka, Muhammad Syahir Mirza, 6, didiagnosis autisme sejak berusia 2 tahun.

Mahathir (kanan) dan Syafinaz bersama putera tunggal mereka, Muhammad Syahir Mirza. — Syafinaz

Mahathir dan Syafinaz memilih untuk tidak menafikan keadaan Mirza dan mula mengambil langkah proaktif dengan menghantarnya ke pusat terapi dan memanfaatkan minatnya dalam muzik dan nombor sebagai cara mengasah kemahiran.

"Kami melihat banyak perubahannya sekarang. Dulu susah nak fokus dan komunikasi terbatas, tapi sekarang boleh berinteraksi dengan kawan-kawan dan lebih berani mendekati orang," kata Mahathir.

Dalam pada itu, Syafinaz turut menegaskan, kesedaran ibu bapa dari awal sangat penting.

"Jangan nafikan perbezaan milestone anak terlalu lama.

"Golden age anak terlalu berharga untuk dilepaskan. Perancangan masa depan anak bergantung pada usaha ibu bapa dari awal," katanya.

Bagi pasangan itu, pendekatan tersebut bukan sekadar untuk memantau perkembangan akademik atau kemahiran fizikal, tetapi juga membina keyakinan diri dan interaksi sosial anak sejak kecil.

Lebih menarik, Mirza menunjukkan bakat semula jadi dalam bermain alat muzik piano.

Menurut Mahathir, minat itu berkembang sendiri tanpa paksaan.

"Dari YouTube, dia belajar tune dan boleh bermain piano sendiri.

"Kalau cari mainan pun, dia tak pilih mainan biasa, sebaliknya cari alat muzik," ceritanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram