KADANGKALA rezeki datang tanpa dijangka bukan kerana harta menimbun, tetapi ikhlasnya hati dalam memberi.
Itulah dikongsikan pelakon dan usahawan, Anzalna Nasir apabila niat kecilnya menggembirakan anak yatim telah hadirkan rezeki tidak disangka-sangka.
“Tak pasti doa anak yatim yang mana satu ALLAH makbulkan. Sebenarnya tak banyak pun Anzalna belanja mereka, cuma tanya apa mereka teringin nak makan.
"Niat cuma nak gembirakan hati mereka. Tapi Subhanallah, pada hari sama juga, ALLAH bagi rezeki tak disangka-sangka,” tulisnya di media sosial.
BACA LAGI: Bayi lahir tanpa otak rai ulang tahun ke-20, doktor pernah jangka hayat hanya 4 tahun
Anzalna menjelaskan bahawa perkongsiannya bukan untuk bermegah, tetapi kesedaran bahawa setiap kebaikan, walau sekecil mana pasti ada ganjarannya di sisi ALLAH.
“Bukan untuk riak, cuma ingin berkongsi supaya kita semua ingat bahawa setiap kebaikan sekecil apa pun, pasti ada ganjarannya,” ujar beliau lagi.
Perkongsian itu membuatkan ramai warga maya turut menceritakan pengalaman masing-masing selepas bersedekah.
Seorang pengguna, Eby Foodjournal berkongsi kisah yang menanti zuriat selama tiga tahun.
“Saya bantu seorang yang sedang susah walaupun tak kenalnya dan minta dia doakan saya dikurniakan anak. Alhamdulillah, dalam bulan sama ALLAH makbulkan doa saya. Sedekah memang salah satu ikhtiar,” tulisnya.
Bagi Fitrah Muhamad, tindakan spontan bersedekah dengan hanya RM20 dalam dompet membuka jalan rezeki berganda.
“Saya masukkan RM20 terakhir ke dalam tabung masjid tanpa fikir apa-apa. Seminggu kemudian, masa annual dinner, saya menang cabutan bertuah RM2,000. ALLAH memang jaga rezeki orang yang yakin memberi,” kongsinya.
Sementara itu, Eyna Rara turut berkongsi kisah hampir sama mengundang rasa sebak dalam kalangan pembaca.
“Saya bersedekah di masjid pada pagi Jumaat. Malamnya, pelanggan saya bayar lebih tetapi tak nak ambil baki.
"Selepas itu, masa makan di mamak, sistem QR down, tiba-tiba ada orang tak dikenali datang bayarkan makanan saya. Masya-ALLAH terus terfikir mungkin ini balasan dari ALLAH atas sedekah siang tadi," katanya.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
