PERTANDINGAN mewarna sering dilihat sebagai aktiviti santai untuk kanak-kanak, tetapi ia sebenarnya boleh menjadi medium penting untuk memupuk kreativiti, minat dan kesabaran mereka.
Aktiviti sebegitu bukan sahaja menyeronokkan, malah memberi peluang kepada ibu bapa untuk melihat perkembangan dan bakat anak-anak mereka secara dekat.
Ogos lalu, kanak-kanak dan ibu bapa di Terengganu berpeluang menyertai pertandingan mewarna, anjuran Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) menerusi siri kedua Jelajah Sawit Hijau.
Acara yang berlangsung di Mayang Mall itu menjadi medium untuk melihat perkembangan minat dan kreativiti anak-anak dan bagi segelintir ibu bapa, ia juga peluang untuk anak-anak belajar menghargai usaha serta menyalurkan minat dengan betul.
BACA LAGI: Ayam 'cucuk' bukan punca anak ekzema, ketahui punca sebenar sistem badan si kecil terganggu

Siti Hawani Salleh bersama anaknya yang juga juara bagi kategori B (enam hingga sembilan tahun) dalam pertandingan mewarna di program Jelajah Sawit Hijau MPOGCF Ogos lalu di Terengganu.
Siti Hawani Salleh, 37 dari Besut hadir bersama dua anaknya berusia sembilan dan enam tahun untuk menyertai pertandingan mewarna tersebut.
Beliau mengakui anak-anaknya memang minat aktiviti itu dan biasanya berlatih sebelum bertanding.
"Anak-anak memang minat mewarna. kalau ada cuti sekolah, mereka memang suka sertai aktiviti mewarna," kata Siti.
Pengalaman membawa anak-anak menyertai pertandingan mewarna bukan perkara baharu bagi Siti.
Kongsinya, beliau pernah membawa anak-anaknya ke pusat beli-belah, Mid Valley, Kuala Lumpur untuk menyertai aktiviti tersebut.
Walaupun bukan semata-mata untuk pertandingan mewarna, namun belau mengakui pengalaman itu memberi peluang anak-anak belajar dan berseronok sambil bercuti hari raya.
"Tidaklah semata-mata mewarna. Ia sambil-sambil saya bercuti untuk hari raya di Kuala Lumpur," jelasnya.
Begitu juga bagi Norhana Mohamad, 41, dari Manir yang pernah membawa anak keduanya yang berusia 11 tahun sehingga ke Kuantan, Pahang semata-mata untuk menyertai pertandingan mewarna.
"Kalau ada kelapangan dan tak bertembung dengan waktu sekolah abangnya, barulah kami pergi untuk pertandingan mewarna," katanya.
Akuinya, pada awalnya penyertaan itu hanya untuk keseronokan dan hadiah, namun lama-kelamaan anaknya mula memahami nilai usaha serta kepentingan memberi tumpuan dan belajar dari pengalaman.
"Kalau awal-awal dulu, memang sebab hadiah. Tapi lama-lama dia sendiri faham kenapa perlu beri usaha dan sabar. Saya pun nampak dia mula bertanya dan belajar dari pengalaman,” katanya.

Kanak-kanak dan keluarga turut menyertai aktiviti interaktif di Jelajah Sawit Hijau MPOGCF yang mengetengahkan mesej kelestarian melalui pendekatan edutainment. — Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation
Kagum melihat anak-anak, ibu-ibu terbabit bersetuju bahawa program anjuran MPOGCF itu patut dianjurkan setiap tahun kerana memberi pengalaman pembelajaran awal yang berharga sambil menyalurkan minat dan kreativiti mereka.
"Program begini patut diadakan selalu. Nanti anak-anak boleh faham dari mana datangnya sawit dan minyak masak. Mereka boleh faham," kata Siti.
Siri kedua Jelajah Sawit Hijau MPOGCF mendapat sambutan luar biasa di Terengganu pada 16 Ogos lalu selepas siri jelajah pertama berlangsung di Alor Setar, Kedah pada 24 Mei lalu.
Sama seperti di Kedah, siri kedua Jelajah Sawit Hijau MPOGCF juga membawakan sesi podcast bersama pihak MPOGCF, Felda, MPOB, NEST, TDM dan Jabatan Perhilitan serta sesi beramah mesra dengan penyampai radio Suria FM bersama Ajak, Khai dan Irsyad.
Kemuncaknya, kemunculan artis ternama seperti Khai Bahar, Tajul, Sufian Suhaimi dan Syafiq Farhain menghiburkan pengunjung sambil menyampaikan mesej yang menyokong usaha pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar serta hidupan liar.
Selepas ini, Jelajah Sawit Hijau MPOGCF akan menemukan penduduk di Johor dan Kuala Lumpur dengan menawarkan pengalaman yang lebih menarik seperti permainan realiti tambahan (augmented reality), format kuiz yang dipertingkatkan seperti Kahoot! serta hadiah-hadiah menarik.
Kandungan pameran juga akan diperkaya dengan permainan memori dan elemen AR yang direka khusus untuk memastikan pengalaman yang menyeronokkan dan bermakna.
Siri jelajah kemuncak di Kuala Lumpur pula akan diserikan dengan kehadiran tetamu kenamaan iaitu seorang ahli Kabinet, sekali gus menegaskan kepentingan kempen ini pada peringkat nasional. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
