'Fikir dulu sebelum beli’, pengurus NEST ingatkan pemilik risiko pelihara burung hiasan


  • Massa
  • Ahad, 14 Sep 2025

Burung hiasan memerlukan komitmen jangka panjang dan penjagaan rapi. — Gambar hiasan/Arkib

BURUNG hiasan sering menarik perhatian kerana rupa fizikal dan warnanya yang cantik. Namun di sebalik kecantikan itu, memelihara burung bukan sekadar hobi, sebaliknya memerlukan komitmen yang lama.

Pengurus Pertubuhan Kelestarian Ekonomi Alam (NEST), Sulaiman Salikin berkata, ramai orang termasuk golongan muda seperti Generasi Z (Gen Z) membeli burung kerana trend atau minat semata-mata tanpa memikirkan tanggungjawab sebenar, terutama bagi spesies yang boleh hidup puluhan tahun.

"Budaya membeli burung dalam sangkar memang sudah lama wujud. Itu adalah satu keinginan tradisi. Tambahan pula, kemungkinan burung membiak dalam sangkar adalah agak tinggi.

"Jadi sebelum membeli, kita kena tanya diri, adakah sanggup untuk jaga mereka sampai 30 atau 35 tahun?" katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Johor bina lintasan hidupan liar pertama di Kahang-Mersing, dijangka siap tahun 2028

BACA LAGI: Bantuan SARA RM100 jadi modal anak gadis berniaga kek batik indulgence, tiramisu di Bangi

Sulaiman (dua dari kanan) dalam sesi pod siar di Jelajah Sawit Hijau anjuran MPOGCF di Terengganu Ogos lalu.

Sebagai contoh jelasnya, burung kakak tua mempunyai jangka hayat sehingga 30 atau 35 tahun, sekali gus memerlukan penjagaan rapi sepanjang tempoh itu.

Berbanding haiwan peliharaan lain yang mungkin hidup hanya beberapa tahun, burung kakak tua memerlukan komitmen jangka panjang daripada pemiliknya dari segi masa, kos, perhatian serta kesabaran.

"Kalau kita beli burung kakak tua hanya kerana minat atau ikut trend tanpa memikirkan kemampuan diri untuk menjaganya sehingga puluhan tahun, akhirnya burung itu akan bertukar tangan," katanya.

Beliau menekankan bahawa keadaan tersebut menimbulkan risiko kesihatan dan kebajikan burung yang sering terabai apabila kerap bertukar tangan.

"Apabila bertukar pemilik, burung akan mengalami tekanan, sukar menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu, mudah sakit dan gagal membesar dengan baik," jelasnya Ketika ditemui pada program Jelajah Sawit Hijau anjuran Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) di Mayang Mall, Kuala Terengganu, Terengganu Ogos lalu.

Program tersebut menggabungkan elemen pendidikan dan hiburan (edutainment) untuk mendekatkan masyarakat kepada aspek kelestarian sawit dan pemeliharaan hidupan liar.

Aktiviti menarik seperti kuiz, permainan mencocok gambar, pameran interaktif dan sesi beramah mesra bersama pengunjung memberi peluang kepada masyarakat, termasuk golongan muda untuk memahami usaha pemuliharaan burung dan kepentingan menjaga ekosistem.

Sulaiman turut menekankan peranan NEST yang bekerjasama rapat dengan MPOGCF dalam mendidik masyarakat.

"Apabila ada program melibatkan burung, kami bekerjasama dengan MPOGCF supaya mesej yang ingin disampaikan sampai kepada orang ramai dan pada masa yang sama, kami juga dapat belajar bersama," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram