BARU melangkah ke alam perkahwinan Mei lalu, penyanyi dan usahawan Sufian Suhaimi semakin memberi tumpuan terhadap nilai kekeluargaan dan peranan sebagai suami serta bakal bapa pada masa depan.
Menurutnya, cara arwah nenek membesarkannya menjadi panduan penting dalam membentuk pandangan terhadap pendidikan awal kanak-kanak.
Katanya sejak kecil, beliau terbiasa mendengar zikir dan selawat setiap kali bersama nenek yang mana kini disifatkan sumber ketenangan dan kekuatan diri.
BACA LAGI: Sempoi berbaju Melayu, gelagat pak andam Megat Tan beli alat solek di Sephora curi perhatian
"Arwah nenek adalah figura penting dalam proses saya membesar. Dia memang suka mengaji, berzikir dan berselawat. Dari kecil, saya ditidurkan dengan zikir.
"Kadang-kadang bila saya sedih atau sakit, dia akan zikir dan selawatkan saya. Itu perkara yang membuatkan saya tenang," katanya kepada Majoriti.
Pelantun lagu Di Matamu itu ditemui pada Jelajah Sawit Hijau anjuran Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) di Mayang Mall, Kuala Terengganu, Terengganu, Ogos lalu.
Bantal zikir
Beliau menambah, pengalaman itu mendorongnya untuk menghidupkan kembali amalan berzikir dalam keluarga generasi kini dan berkongsi ketenangan yang pernah dirasai bersama ibu bapa lain.
"Saya nak kongsikan amalan ketenangan ini, sekali gus hidupkan semula zikir dalam kalangan ibu bapa dan anak-anak.
"Apabila kanak-kanak selalu dengar, insya-ALLAH mereka akan mudah hafal dan baca," ujarnya.
Bicara lanjut pengalaman bersama arwah nenek menyuntik inspirasi buat Suhami, 33, menghasilkan bantal zikir di bawah jenama BabyPian sebagai salah satu usaha menggalakkan ibu bapa mendekatkan anak dengan amalan baik sejak kecil.
Pelakon drama Pelakon Kolestrol itu pada masa sama turut berkongsi harapannya terhadap cara mendidik anak apabila tiba masanya nanti.
Katanya, beliau mahu memastikan anak-anaknya mendapat pendedahan ilmu agama yang mencukupi serta mempelajari ayat al-Quran daripada ibu bapa sendiri.
"Kalau ada anak nanti, saya akan pastikan dia cukup pendedahan dari segi ilmu. Harapan saya, biarlah anak-anak pandai mengaji dan baca al-Fatihah daripada ibu dan ayah sendiri, bukan daripada orang lain," tutur beliau lanjut.
Risiko gajet
Dalam pada itu, beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap kecenderungan kanak-kanak masa kini yang semakin bergantung kepada skrin dalam kehidupan seharian.
"Saya risau bila tengok anak kecil sekarang terlalu bergantung pada skrin. Nak makan pun kena ada video, nak tidur pun tengok kartun.
"Kita belum betul-betul faham kesan jangka panjangnya terhadap perkembangan mereka," katanya.
Menurut Sufian, ibu bapa perlu lebih peka terhadap masa dan kandungan yang diakses anak-anak mereka selain mencari cara untuk mengimbangi penggunaan teknologi dengan interaksi sebenar dalam keluarga.
"Saya tak menolak keperluan gajet untuk anak-anak sebab ada juga kebaikannya. Tapi cara penggunaan kena ada had.
"Ibu bapa sendiri perlu pantau apa yang anak-anak tonton," tegasnya.
Sekadar info, Sufian mendirikan rumah tangga bersama wanita pilihan hati, Rania Al Sadat pada 2 Mei lalu di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
Pada usia 27 tahun, beliau mengambil seorang anak angkat bernama Muhammad Faeq Razeeq Muhammad Rizal melalui persetujuan bersama ibu bapa kanak-kanak yang juga merupakan rakan rapatnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
