Sisa robohan pusat beli-belah dibina semula jadi rumah kaca, kini megah bertaraf ikonik


  • Hias
  • Isnin, 10 Nov 2025

Sekerap logam 45,000kg diubah menjadi Recycled Glass House. — Agensi

SIAPA sangka, timbunan besi buruk dan sekerap logam yang sepatutnya berakhir di tapak pelupusan, kini berdiri megah menjadi sebuah kediaman seni bertaraf ikonik.

Seorang pengarca terkenal Amerika Syarikat, George Tobolowsky, berjaya menyatukan dua karya seni bina rumah kaca dengan hanya menggunakan bahan kitar semula.

Lebih menakjubkan lagi kebanyakannya bahan-bahan binaan diperoleh daripada sisa perobohan sebuah pusat beli-belah.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ingatkan Singapura negara selamat', jam tangan mewah RM1.29 juta milik pempengaruh lesap dicuri

BACA LAGI: Langsir penentu suasana kediaman, jadi pencetus 'mood' dari klasik ke moden

Rumah yang dinamakan 'Recycled Glass House' itu terletak sejam dari pusat bandar Dallas, di kawasan bukit Cross Timbers yang menghijau.

Bukan idea biasa, Tobolowsky nekad menggabungkan elemen reka bentuk daripada dua rumah kaca paling hebat dalam sejarah seni bina moden iaitu Farnsworth House dan Glass House.

"Rumah Farnsworth adalah teras utama. Kemudian, saya sambungkan separuh daripada rumah Phillip Johnson di setiap sisi untuk dijadikan bilik tidur," katanya.

Hasilnya? Satu gabungan seni unik kerana separuh bangunan didirikan di atas tiang dan satu lagi di atas tanah.

Seluruh kerangka keluli dicat hitam matte untuk bersatu dengan hutan yang berada sekeliling rumah tersebut.

Ketua kurator Nasher Sculpture Center, Jed Morse, menggelar Tobolowsky (gambar) sebagai 'seorang pakar logam buangan'. — Agensi

Lebih menarik, Tobolowsky bukanlah anak seni sejak lahir kerana dia memulakan kerjaya sebagai ahli perniagaan.

Beliau juga pernah memiliki hampir 100 francais kedai video dan salun tanning di seluruh Amerika Syarikat.

Namun, minatnya terhadap seni arca 'objek jumpa' telah lama dipendam, terutamanya selepas mendapat inspirasi daripada pengarca legenda, Louise Nevelson.

Dikenali sebagai 'pakar logam' oleh Ketua Kurator Nasher Sculpture Center, Jed Morse, Tobolowsky mempunyai kebolehan istimewa menukar serpihan besi buangan menjadi sesuatu yang indah dan bermakna.

Ciri-ciri dalaman menampilkan lantai kayu white oak (kitar semula dari Kansas) dengan dinding dalaman yang diperbuat daripada kayu black walnut dari Oklahoma. — Agensi

Projek kediaman itu bermula pada 2019 selepas Tobolowsky mendapat maklumat tentang perobohan sebahagian RedBird Mall di Dallas.

Tanpa membuang masa, beliau segera memunggah sekerap logam yang dianggarkan seberat 100,000 paun (45,360 kg), kebanyakannya adalah rasuk I dan H-beam keluli dari bangunan lama di pusat beli-belah tersebut.

"Sejurus selepas dia menutup telefon, saya sudah sampai di sana dengan treler saya," kata Tobolowsky, menunjukkan semangatnya terhadap besi buruk.

Satu batang kayu black walnut dari Oklahoma dibelah dua dan digunakan sebagai bangku. — Agensi

Tobolowsky berani tidak menyembunyikan 'luka' dan kecacatan pada rasuk keluli yang diselamatkan.

Malah, beliau sengaja menonjolkan 'ketidaksempurnaan' itu di lokasi strategik seperti bingkai pintu hadapan sebagai peringatan bahawa bahan ini adalah kitar semula.

Walaupun ada pihak yang mungkin menganggap 'kasar', rumah itu wajib dinilai berdasarkan semangat dan keasliannya sendiri. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram