Langsir penentu suasana kediaman, jadi pencetus 'mood' dari klasik ke moden


  • Hias
  • Jumaat, 07 Nov 2025

Ai Curtains berkongsi falsafah bahawa langsir adalah 'mood rumah'.

JIKA dinding dan lantai adalah tulang belakang sesebuah rumah, maka langsir pula adalah jiwa dan 'mood' yang menghubungkan rasa ketenangan juga kemewahan.

Melangkah masuk ke premis Ai Curtains di Setia Alam, Selangor pandangan terhadap langsir sebagai aksesori biasa terus berubah.

Bagi pasangan suami isteri yang merupakan pemilik Ai Curtains, Aida Haswani Abu Hassan, 45, dan Mohd Azhar Ibrahim, 54, bidang hiasan tingkap bukan sekadar perniagaan.

BACA LAGI: Tetap pendirian beli rumah bawah RM300,000, doktor senarai 4 sebab tak galak melabur pada kediaman mahal

BACA LAGI: Peguam Syarie perjelas bapa biologi tak wajib beri nafkah anak luar nikah jika tak berkahwin dengan ibu kandung

Ia adalah seni yang memerlukan kepakaran teknikal, kreativiti dan pemahaman mendalam tentang keperluan pelanggan.

Aida Haswani, yang berpengalaman bermula sebagai tukang jahit dari rumah sejak 2006, berkongsi falsafah perniagaan mereka yang kini memposisikan Ai Curtains sebagai 'pakar langsir' utama di Lembah Klang.

Beliau menegaskan bahawa langsir memegang peranan penting dalam menentukan suasana kediaman.

"Untuk kami, langsir bukan sekadar penutup tingkap. Tapi ia adalah mood rumah. Langsir yang sambungkan rasa rumah ini nyaman.

"Prinsip kami senang privasi, keselesaan dan kemasan premium. Setiap rumah lain, setiap keluarga lain, jadi langsir kena ikut jiwa pemilik dia, bukan ikut katalog semata-mata," kata Aida Haswani kepada Majoriti.

Pasangan di sebalik jenama Ai Curtains, Aida Haswani (kiri) dan Azhar (kanan), sentiasa memastikan setiap langsir yang dipasang menepati mood dan jiwa pemilik rumah.

Tambahnya lagi, langsir adalah sentuhan terakhir yang melengkapi dekorasi sesebuah ruang rumah dengan seacara tidak langsung akan membawa emosi buat pemilik.

“Sebab langsir ini adalah sentuhan terakhir. Dia yang menentukan dekorasi dalam rumah itu menjadi atau tidak, dekorasi dalam rumah itu membuatkan dia rasa tenang atau tidak. Dekat situ melibatkan warna dan emosi," jelasnya

Gaya Ripplefold menjadi trend moden terkini.

Ai Curtains menekankan konsep 'custom-made' sepenuhnya dalam setiap aspek produk dan perkhidmatan, dari pemilihan fabrik, potongan, gaya lipatan sehingga ke pemasangan.

"Installer kami semua 'trainer-based', maksudnya kemasan dia memang 'clean' dan 'high standard'," kata Aida Haswani, sambil menambah bahawa pasukan mereka sentiasa bersedia membimbing pelanggan dari awal hingga akhir proses.

Dalam proses rundingan, Ai Curtains akan menganalisis ruang rumah secara menyeluruh.

"Kami akan tengok dulu ruang rumah seperti cahaya macam mana, warna dinding, tinggi siling, tema dekorasi. Selepas itu baru cadang kain, warna dan gaya yang sesuai dengan bajet. Kalau pelanggan keliru, kami mudahkan macam tunjuk gambar rumah dan cadangkan," tambahnya.

Mengendalikan projek rumah berstatus tinggi, banglo atau ruang komersial telah melahirkan kepakaran unik dalam pasukan Ai Curtains.

Salah satu tempahan yang paling mencabar yang pernah mereka terima melibatkan pemasangan di rumah dengan struktur yang rumit.

"Pernah satu rumah siling dia tinggi 20 kaki, tingkap dia bentuk 'bay window' berlengkung. Kalau pasang macam biasa, nanti jatuh tak cantik. Kami buat 'track custom' bentuk 'curve' dan pasang guna 'high ladder system'. Alhamdulillah hasil dia memang kemas dan nampak eksklusif,” kongsi Aida Haswani.

Ai Curtains juga pernah berhadapan dengan projek yang memerlukan pemasangan langsir mengikut bentuk 'beam' di antara ruang yang berbeza ketinggian siling, memerlukan jahitan dan potongan yang sangat teknikal.

Tambahnya, cabaran berurusan dengan pelanggan berprofil tinggi bukanlah dari segi kerenah, sebaliknya adalah ekspektasi tinggi terhadap perincian dan ketepatan masa yang mana "kemasan adalah segalanya."

Rekaan scallop terus mendominasi rumah yang inginkan sentuhan kemewahan klasik.

Mengulas mengenai trend semasa, Wani mendedahkan bahawa gaya Ripplefold kini menjadi kegemaran kerana ia menawarkan rupa yang 'clean' dan moden, menepati cita rasa minimalis.

Bagaimanapun, gaya scallop mewah masih relevan bagi rumah yang mengejar 'vibe' klasik.

Permintaan untuk sistem langsir bermotor juga semakin meningkat, sejajar dengan konsep 'smart home' yang moden.

Dalam pemilihan material dan warna, trend semasa didominasi oleh:

Warna natural: Cream, beige, grey, mocha dan latte.

Fabrik: Tekstur linen popular kerana memberikan kesan lembut dan mahal, manakala fabrik poliester blackout menjadi pilihan utama untuk fungsi.

Kesedaran pelanggan terhadap fungsi langsir semakin tinggi, bukan hanya mahu cantik, tetapi juga aspek kawal suhu, tahan panas, blackout dan privasi menjadi keutamaan, terutama di Malaysia yang panas.

Cadangan kombo langsir dwi lapis: 

1. Night Curtain: Untuk privasi dan kawalan cahaya maksimum.

2. Day Curtain: Untuk melembutkan cahaya siang, memberikan suasana tenang.

"Jadi cantik dapat, fungsi pun dapat," simpul Aida Haswani.

Beliau turut mengingatkan bahawa pengaruh media sosial seperti TikTok kini sangat besar, yang mana ramai pelanggan datang dengan tangkap layar rekaan yang mereka mahu realisasikan.

Tip langsir nampak cantik dan kemas

Aida Haswani turut berkongsi tiga tips mudah untuk memastikan langsir rumah kelihatan estetik dan berkelas:

1. Pasang lebih tinggi: Pasang rel atau track lebih tinggi daripada bingkai tingkap untuk memberikan ilusi siling yang tinggi.

2. Pilih warna neutral: Pilih warna lembut atau natural untuk mewujudkan rasa luas dan tenang dalam ruang.

3. Utamakan kemasan: Pastikan jahitan dan kemasan pemasang adalah kemas kerana kecantikan langsir banyak bergantung pada kualiti kemasan.

Mengakhiri temubual, Aida Haswani menyentuh tentang visi lima tahun Ai Curtains.

"Sasaran kami adalah menjadi rujukan utama ilmu langsir di Malaysia bukan sekadar kedai jual langsir. Kami nak setiap orang bila fikir langsir, mereka ingat Ai Curtains dulu. Kami dalam proses untuk buka sistem 'training installer' bagi suri rumah di seluruh Malaysia." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram