PEMPENGARUH media sosial yang juga penyanyi rap, Caprice mendedahkan isterinya telah membayar kos peguamnya tanpa dimaklumkan kepadanya.
Perkara itu didedahkan sendiri Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli menerusi hantaran video di Instagram baru-baru ini yang mengakui terkejut dan terharu beliau terhadap tindakan isteri tercinta.
Dalam video berdurasi lebih tiga minit itu, Caprice menceritakan bagaimana salah seorang peguam yang menguruskan kes mereka tiba-tiba menghantar mesej dan memaklumkan bahawa bayaran kos peguam telah diselesaikan.
"Saya berfikir, bayaran apa yang diterima? Sebab saya tak bayar lagi. Siapa yang bayar? Dia beritahu saya, isteri saya bayar untuknya," kata Caprice.
Ceitanya, isterinya, Farra Inalis baru-baru ini dibenarkan memulakan perniagaan semula selepas sekian lama ditangguhkan atas permintaan Caprice sendiri supaya fokus sepenuhnya terhadap anak mereka.
Namun, beliau terkejut apabila mengetahui tindakan isterinya itu bukan sahaja untuk berniaga, tetapi juga untuk meringankan beban kewangannya.
"Sebagai ketua keluarga, kami ada tanggungjawab besar, iaitu nafkah, bil, perniagaan, semua kos operasi.
"Tapi dalam kes saya, selain itu ada juga kos saman. Terlalu gila selama tiga tahun ini," katanya sambil menzahirkan penghargaan buat isterinya yang sanggup mulakan perniagaan semula dan tanggung kos undang-undangnya.
Detik itu disusuli dengan Caprice tampil memberi kejutan bunga kepada isterinya sebagai tanda penghargaan.
Sementara itu, Caprice turut berkongsi berita gembira apabila permohonan injunksi melibatkan kes Murad Zaidi telah digugurkan oleh mahkamah.
"Syukur Alhamdulillah, satu lagi kemenangan untuk kami, demi keadilan dan kebenaran.
"Insya-ALLAH, kami akan terus membantu mana-mana pihak yang dianiaya di luar sana. Kami tak akan berhenti,” katanya.
Dalam video tersebut, Caprice turut mempromosikan jenama kosmetik milik isterinya yang baru sahaja beroperasi.
Sementara itu, ruangan komen video berkenaan dibanjiri dengan warga maya terutamanya wanita yang menyuarakan sokongan terhadap isteri Caprice dan perniagaannya.
Tidak kurang juga yang mendoakan kebahagiaan mereka.
"Alhamdulillah, jaga isteri baik-baik. Zaman sekarang susah nak cari perempuan yang boleh kongsi susah senang Bersama," komen @nur.official20.
"Itulah isteri. Hargai isteri walau sekecil-kecil tindakan yang dilakukan. Mereka akan sanggup lakukan segalanya," kata @kekcawan.com.my.
"Satu kisah yang sangat indah tentang sokongan dan kerjasama! Seronok melihat kalian saling menyokong antara satu sama lain," ujar @my_starshadow. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
