Ingatkan sakit kepala biasa, rupanya kanser paru-paru tahap 4 dan jangkitan TB akibat terdedah asap rokok di tempat kerja


  • Sihat
  • Isnin, 10 Nov 2025

Seorang wanita berusia 66 tahun disahkan menghidap kanser paru-paru tahap 4 setelah mengalami pening kepala secara berterusan.

PENING kepala yang dianggap biasa rupa-rupanya menjadi petanda kepada penyakit serius apabila seorang wanita berusia 66 tahun disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat, meskipun tidak pernah merokok.

Kisah benar itu dikongsikan oleh Pakar Perunding Kesihatan Respiratori dan Perubatan Dalaman, Dr. Nurul Yaqeen Mohd Esa melalui satu hantaran di laman Facebook yang mencetuskan kesedaran ramai tentang bahaya asap rokok pasif terhadap individu bukan perokok.

Menurut Dr. Nurul Yaqeen, pesakit hadir ke klinik dengan aduan pening kepala yang berlarutan tanpa simptom tipikal seperti batuk, sesak nafas atau penurunan berat badan.

BACA LAGI: Cuaca sangat panas, cuma saya masih mahu beraksi bersama Malaysia — Laikha Macwilson

BACA LAGI: 'Saya dilahirkan di England tetapi berdarah warisan Malaysia', adik Zahirah Macwilson muncul jurulatih bola sepak terbaik di Australia

Pemeriksaan awal tidak menunjukkan sebarang masalah paru-paru yang jelas. Namun, hasil imbasan dan siasatan lanjut memberi petunjuk mengejutkan.

Dr. Nurul Yaqeen berkata, pesakit memaklumkan bahawa beliau tidak pernah merokok tetapi pernah bekerja di pejabat tertutup yang dipenuhi asap rokok selama bertahun-tahun.

“Pesakit ini tidak pernah merokok, tetapi pendedahan kepada asap rokok pasif di tempat kerja berlaku setiap hari. Walaupun sudah lama berlalu, kesannya boleh kekal di dalam paru-paru,” katanya.

 

Imbasan CT otak menunjukkan kehadiran tompokan putih yang mencurigakan, manakala pemeriksaan dada mengesan ketulan besar di paru-paru kanan dengan penyebaran ke pleura, kelenjar dada, kelenjar adrenal dan otak. 

Hasil penemuan itu mengesahkan bahawa penyakit berkenaan sudah berada pada tahap empat.

Lebih membimbangkan, ujian bronkoskopi turut mengesan jangkitan tuberkulosis (TB) secara serentak. 

Keputusan biopsi paru-paru kemudian mengesahkan kehadiran adenokarsinoma paru-paru, sejenis kanser yang sering berlaku dalam kalangan bukan perokok dan dikaitkan dengan pendedahan jangka panjang terhadap asap rokok pasif.

“Kanser jenis ini sering menyerang pesakit bukan perokok. Ia berkembang secara senyap tanpa gejala ketara, dan biasanya dikesan apabila sudah berada di tahap lanjut,” katanya.

Walaupun menerima dua diagnosis berat dalam satu masa, pesakit tetap tabah dan bersedia menjalani rawatan TB serta menunggu keputusan ujian genetik tumor bagi menentukan rawatan sasaran yang sesuai.

“Pesakit ini sangat kuat semangat. Walaupun berdepan dua penyakit besar serentak, beliau tetap tenang dan bertekad untuk meneruskan rawatan,” kata Dr. Nurul Yaqeen.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak memandang ringan simptom seperti pening kepala atau rasa tidak stabil kerana ia boleh menjadi tanda awal kepada penyakit serius.

“Setiap perubahan pada tubuh, walaupun nampak kecil, wajar diperiksa segera. Pengesanan awal memberi peluang rawatan yang lebih baik,” katanya.

Dr. Nurul Yaqeen turut menekankan kepentingan pemeriksaan kesihatan berkala, khususnya bagi individu yang terdedah kepada asap rokok di rumah atau tempat kerja.

“Kanser paru-paru bukan hanya berlaku kepada perokok. Mereka yang tidak merokok juga berisiko sekiranya sering menghidu asap rokok orang lain,” tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram