PENYANYI dan usahawan terkenal, Mila Jirin, mendedahkan anak lelakinya yang baru berusia lapan tahun, Mohd Arif Zikri sudah menunjukkan kecenderungan terhadap dunia perniagaan hasil pendedahan awal yang diberikan di rumah.
Menurut pemilik empayar Bizmilla Wedding Centre itu, walaupun sibuk menguruskan perniagaan yang kini beroperasi di empat negeri iaitu Selangor, Putrajaya, Johor dan Pulau Pinang, beliau tetap mengutamakan masa bersama keluarga, khususnya dalam membentuk keperibadian dan pemikiran anak sejak kecil.
“Saya buat kerja di pejabat sehingga pukul dua petang sahaja. Selepas itu, saya dan suami akan pulang untuk mengambil anak dari sekolah.
"Saya tidak mahu terlepas momen tumbesarannya kerana hubungan ibu dan anak amat penting,” katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Cuaca sangat panas, cuma saya masih mahu beraksi bersama Malaysia — Laikha Macwilson

Mila (kanan) menyedari minat anaknya, Mohd Arif (kiri) terhadap perniagaan semakin terserlah.
Pelantun lagu Persis Mutiara itu berkata, bagi menggalakkan komunikasi dan keterbukaan dalam keluarga, beliau memilih untuk menyiapkan tugasan kerja bersama anak di meja yang sama.
“Saya akan buat kerja saya, manakala anak menyiapkan kerja sekolah. Dari situ saya ambil peluang, berbincang tentang apa jua cabaran yang dihadapi anak dan ambil tahu tentang aktiviti harian dia. Saya mahu dia berasa selesa untuk berkongsi apa yang berlaku setiap hari sama ada baik atau buruk,” ujarnya.
Menariknya, Mila menyedari minat anaknya terhadap perniagaan semakin terserlah apabila anaknya mula mengaitkan pelajaran termasuk subjek Matematik dengan dunia keusahawanan.
“Kadangkala ketika mengira, dia akan kaitkan dengan bisnes. Dari situ saya nampak bagaimana pendedahan awal memberi kesan kepada cara dia berfikir,” katanya.
Tambahnya, setiap kali berpeluang melakukan urusan kerja luar kawasan, beliau akan membawa anaknya bersama bagi memberi pendedahan terhadap dunia sebenar keusahawanan.
“Setiap kali ada urusan di Pulau Pinang atau Johor Bahru, saya akan bawa dia bersama. Dalam perjalanan, saya akan terangkan tentang tanggungjawab sebagai usahawan dan kepentingan berdikari,” jelasnya.
Bagi pemilik nama sebenar Norsyarmilla Jirin itu, mendidik anak memahami konsep usaha dan nilai kerja keras sejak kecil bukan sekadar untuk menjadikan mereka usahawan kelak, tetapi tetapi untuk menanam nilai disiplin, tanggungjawab dan semangat belajar dalam diri anak sejak usia muda.
“Saya mahu dia faham bahawa kejayaan tidak datang dengan mudah. Apa yang penting ialah usaha dan keberanian untuk mencuba,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
