Dilema berumah di ibu kota, antara apartmen sempit RM600,000 di KL atau teres dua tingkat di Kajang


  • Hias
  • Sabtu, 08 Nov 2025

Menetap di kawasan bandar dan pinggir bandar masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangannya. — Gambar hiasan/Janaan AI

MEMBELI rumah adalah satu komitmen besar dan melibatkan pelaburan jangka masa panjang.

Pelbagai aspek perlu diteliti dan banyak pertimbangan yang harus dilakukan bagi memastikan ia tidak mendatangkan beban di kemudian hari.

Salah satu aspek yang juga menjadi dilema buat pembeli adalah lokasi, sama ada di bandar atau pinggir bandar.

BACA LAGI: Universiti terkemuka Korea Selatan 'reject' 45 pelajar gara-gara rekod buli

BACA LAGI: 'Jangan jadi kera sumbang', Cikgu Saffuan kongsi 7 tip ‘survive’ di pedalaman Sarawak

Menerusi hantaran seorang pengguna di Facebook yang aktif berkongsi tip beli rumah, Muhazrol Muhamad, kedua-dua lokasi tersebut mempunyai kelebihan dan kekurangannya.

Bagi sesetengah individu, tinggal di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dilihat lebih praktikal dan strategik, khususnya bagi golongan muda yang mementingkan keselesaan serta akses mudah ke tempat kerja dan kemudahan awam.

Dengan rangkaian pengangkutan seperti MRT dan LRT, masa perjalanan dapat dijimatkan, manakala pusat beli-belah, restoran dan kemudahan kesihatan juga terletak berdekatan.

Namun, nilai hartanah di kawasan bandar utama datang dengan syarat tertentu.

Dengan bajet sekitar RM600,000, kebanyakan unit kediaman di Kuala Lumpur hanya menawarkan keluasan antara 800 hingga 1,000 kaki persegi, lazimnya terdiri daripada dua bilik tidur dan ruang tamu yang sederhana.

Ruang terhad itu mungkin sesuai bagi golongan bujang atau pasangan muda, namun kurang praktikal untuk keluarga yang memerlukan bilik tambahan dan ruang permainan anak-anak.

Sebaliknya, kawasan pinggir bandar seperti Kajang menawarkan nilai yang lebih berbaloi dengan bajet sama.

Dengan jumlah tersebut, pembeli berpotensi memiliki rumah teres dua tingkat dengan empat bilik dan halaman kecil di belakang.

Bagaimanapun, kelebihan ruang dan nilai ini perlu dibayar dengan harga masa.

Tinggal di kawasan pinggir bandar biasanya memerlukan perjalanan lebih panjang ke pusat bandar yang boleh mencecah antara satu hingga dua jam setiap hari bergantung pada keadaan lalu lintas dan jarak tempat kerja.

Meskipun kemudahan pengangkutan awam semakin berkembang, cabaran masa dan jarak tetap menjadi pertimbangan utama.

Hakikatnya, tiada pilihan betul atau salah dalam menentukan lokasi kediaman.

Segala keputusan bergantung kepada gaya hidup, keperluan serta keutamaan setiap individu.

Bagi mereka yang mengutamakan kemudahan dan keselesaan bandar, Kuala Lumpur mungkin pilihan terbaik.

Namun, bagi yang mahukan ruang lebih luas serta nilai jangka panjang yang lebih stabil, kawasan seperti Kajang mungkin menawarkan keseimbangan yang diinginkan.

Akhirnya, persoalan utama yang perlu dijawab setiap pembeli ialah antara masa dan ruang, yang manakah lebih berharga untuk dikorbankan? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram