'Sudah tiba masa diformat', pakar cadang henti pengeluaran penuh KWSP umur 55 tahun, ganti bayaran bulanan


  • Bisnes
  • Sabtu, 08 Nov 2025

Cadangan Bank Dunia agar had usia pengeluaran penuh KWSP dinaikkan daripada 55 kepada 65 tahun menerima tentangan daripada beberapa pihak.

ISU dana persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terus menjadi topik hangat dalam kalangan rakyat khususnya berhubung keperluan menilai semula umur serta kaedah pengeluaran simpanan pencarum. 

Persoalan utama yang dibangkitkan ialah sama ada pengeluaran perlu dikekalkan pada umur 55 tahun, dilanjutkan ke 60 atau dinaikkan ke 65 tahun bagi memastikan simpanan tersebut benar-benar mencukupi untuk menampung kehidupan selepas bersara.

Topik itu terus mencetuskan polemik dalam kalangan rakyat selepas Bank Dunia mencadangkan agar had usia pengeluaran penuh KWSP dinaikkan daripada 55 kepada 65 tahun.

BACA LAGI: Semak 3 persoalan kewangan sebelum pencen, rujuk panduan simpanan persaraan KWSP

BACA LAGI: Had pengeluaran KWSP tunai haji naik kepada RM10,000

Ketika ada pihak menentang cadangan berkenaan, muncul cadangan agar sistem sedia ada diformat semula supaya KWSP benar-benar berfungsi sebagai pelindung hari tua dan bukannya sekadar tabungan jangka pendek.

Penulis dan Perunding Kewangan Rakyat, Shamsuddin Abdul Kadir mencadangkan supaya pekerja yang mula berkhidmat pada atau selepas 1 Januari 2026 tidak lagi dibenarkan membuat pengeluaran penuh secara sekaligus pada umur 55 tahun. 

Sebaliknya, Shamsudin berpendapat bahawa pencarum dicadangkan menerima bayaran bulanan seperti skim pencen dengan beliau mencadangkan agar ia bermula pada umur 60 hingga 75 tahun.

"Langkah ini mampu menjadikan KWSP benar-benar berfungsi sebagai pelindung hari tua, bukan sekadar tabung simpanan jangka pendek," katanya kepada Majoriti mengulas isu berkenaan. 

Shamsuddin turut menekankan bahawa beberapa bentuk fleksibiliti wajar dikekalkan bagi memenuhi keperluan semasa pencarum. 

Perunding Kewangan, Shamsuddin Kadir.

Misalnya, pengeluaran Akaun 2 pada umur 50 tahun masih boleh dibenarkan bagi melangsaikan baki pinjaman rumah, sementara Akaun 3 pula dikekalkan untuk keperluan segera yang munasabah. 

Selain itu, Shamsudin juga berpandangan bahawa pengeluaran lebih besar juga disarankan bagi pencarum yang menghidap penyakit kritikal bagi menampung kos rawatan dan sara hidup.

"Cadangan ini bukan bertujuan menyekat rakyat daripada menikmati simpanan sendiri, tetapi bagi memastikan dana persaraan negara kekal kukuh, adil dan bermanfaat dalam jangka panjang," tambahnya. 

Shamsuddin berharap kerajaan serta pihak KWSP dapat mempertimbangkan cadangan tersebut demi menjamin kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia yang semakin berdepan cabaran kos sara hidup tinggi serta peningkatan jangka hayat.

Bank Dunia menjelaskan bahawa umur akses pengeluaran simpanan KWSP pada 55 tahun dianggap terlalu rendah bagi struktur demografi Malaysia yang semakin menua.

Sebelum ini, laporan terbaharu Bank Dunia bertajuk 'Should Malaysia Expand Its Social Pension? Global Evidence, Design Issues and Options', organisasi itu mencadangkan Malaysia menyesuaikan dasar persaraan negara dengan peningkatan jangka hayat sihat rakyat, sekali gus mencadangkan had umur pengeluaran penuh KWSP dinaikkan kepada sekurang-kurangnya 65 tahun.

Laporan itu turut menyatakan bahawa Malaysia sedang menuju ke arah masyarakat menua, apabila 14 peratus penduduk dijangka berumur 65 tahun ke atas menjelang 2045, dan angka itu meningkat kepada 20 peratus menjelang 2056.

Namun, cadangan tersebut segera mencetuskan perdebatan awam terutamanya dalam kalangan pencarum dan pertubuhan pekerja yang melihat langkah itu sebagai berisiko menjejaskan kebajikan dan keupayaan kewangan rakyat selepas bersara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram