Sinar baharu buat bayi derita penyakit CDH, rawatan berlian ketika masih janin tingkatkan kadar kelangsungan hidup


  • Bonda
  • Rabu, 05 Nov 2025

Bayi yang menghidap CDH kini mempunyai harapan baharu menerusi sistem rawatan nanodiamonds.

SAINS dan teknologi perubatan kini menawarkan harapan baharu kepada bayi yang menghidap 'Congenital Diaphragmatic Hernia' (CDH), satu keadaan kongenital yang mengancam nyawa.

Saintis berjaya membangunkan sistem penghantaran rawatan menggunakan 'nanodiamonds' secara terus kepada bayi di dalam kandungan bagi merangsang pertumbuhan paru-paru.

CDH adalah keadaan yang boleh membawa maut, dengan satu daripada setiap 3,000 bayi berisiko menghidapinya.

BACA LAGI: Suami pulang kerja luah penat, isteri acuh tak acuh, terus henti mengadu hingga bercerai, lelaki juga perlu 'tempat selamat'

BACA LAGI: Penangan konsep lengkungan kreativiti arkitek wanita, kafe Sihojae & Sicha menang reka bentuk terbaik di Korea Selatan

Ia berlaku apabila diafragma otot pemisah abdomen dan dada tidak terbentuk sempurna, menyebabkan organ perut seperti usus dan perut bergerak ke ruang dada, sekali gus menghimpit paru-paru yang sedang membesar.

Dalam kes yang kritikal, kurang 25 peratus bayi yang dilahirkan dengan CDH akan bertahan tanpa rawatan, kerana paru-paru mereka gagal berkembang sepenuhnya.

Rawatan sedia ada untuk kes CDH yang teruk melibatkan pembedahan janin yang mana belon khas dimasukkan ke dalam salur nafas bayi untuk merangsang paru-paru membesar.

Kaedah itu hanya meningkatkan peluang kelangsungan hidup kepada 50 peratus.

Kini, pasukan penyelidik antarabangsa yang diketuai pakar dari Hospital Great Ormond Street (GOSH) dan University College London di UK serta KU Leuven di Belgium, memfokuskan kepada faktor pertumbuhan endothelial vaskular (VEGF).

Ia sejenis hormon penting untuk perkembangan paru-paru yang sangat rendah dalam kalangan bayi CDH.

Untuk menghantar hormon itu dengan selamat, saintis telah mencipta sistem mikroskopik yang diperbuat daripada nanodiamonds iaitu zarah nano karbon yang lebih kecil daripada ketebalan sehelai rambut manusia sebagai pembawa.

Keberkesanan sistem penghantaran nano berlian itu diuji menggunakan mini-paru-paru manusia yang ditanam di makmal, yang mana pasukan penyelidik menggunakan teknologi cetakan 3D untuk meniru situasi paru-paru seperti yang berlaku dalam keadaan CDH sebenar.

Hasil eksperimen yang diterbitkan dalam Blue Journal, menunjukkan rawatan VEGF menerusi nanodiamonds itu melengkapi rawatan standard sedia ada.

Penyelidikan mencadangkan gabungan pemberian sistem penghantaran VEGF dan prosedur belon pembedahan janin menghasilkan paru-paru yang paling sihat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram