Peguam Syarie perjelas bapa biologi tak wajib beri nafkah anak luar nikah jika tak berkahwin dengan ibu kandung


  • Bonda
  • Khamis, 06 Nov 2025

Bapa biologi tidak wajib beri nafkah anak luar nikah kerana tiada nasab sah. — Gambar hiasan/AI

ISU nafkah anak luar nikah seringkali menjadi topik hangat dalam kalangan masyarakat, terutamanya di media sosial.

Kefahaman yang nipis sering kali menimbulkan rasa tidak adil, khususnya kepada pihak ibu yang dilihat menanggung bebanan nafkah bersendirian, manakala bapa biologi seolah-olah terlepas daripada tanggungjawab.

Adakah benar hukum Islam menzalimi wanita dan menguntungkan lelaki dalam isu ini? Benarkah bapa biologi tidak wajib menanggung nafkah anak luar nikah jika tiada ikatan perkahwinan yang sah?

BACA LAGI: Tetap pendirian beli rumah bawah RM300,000, doktor senarai 4 sebab tak galak melabur pada kediaman mahal

BACA LAGI: Sinar baharu buat bayi derita penyakit CDH, rawatan berlian ketika masih janin tingkatkan kadar kelangsungan hidup

Peguam Syarie tampil memberikan pencerahan, merujuk kepada prinsip besar dalam penetapan hukum Islam, iaitu Maqasid Syariah

Menurut perkongsian oleh Peguamsyarie.info, kekeliruan utama yang sering berlaku adalah menyamakan tanggungjawab nafkah anak luar nikah dengan anak sah taraf.

Dalam konteks Syariah, tanggungjawab nafkah ditetapkan berdasarkan kepadahubungan keturunan yang sah.

1. Bapa biologi

Dalam kes anak luar nikah, bapa biologi tidak wajib menanggung nafkah. Ini berlaku kerana:

Tidak wujud pernikahan yang sah dengan ibu anak tersebut.

Anak tersebut tidak dapat dinasabkan kepada bapa biologi tersebut di sisi Syarak.

Mahkamah Syariah juga tidak boleh menetapkan perintah nafkah terhadap lelaki yang tiada hubungan nasab sah dengan anak itu, sekali gus menafikan hak ibu untuk menuntut nafkah daripada bapa biologi di Mahkamah.

2. Ibu kandung

Sebaliknya, ibu kandung wajib menanggung nafkah anak luar nikah.

Hal ini kerana beliau adalah yang melahirkan anak itu. Dalam ketiadaan nasab sah kepada bapa, maka nafkah anak itu adalah di bawah tanggungjawab ibu sepenuhnya.

3. Waris lain

Tanggungjawab nafkah boleh beralih kepada waris sebelah ibu seperti datuk atau nenek sebelah ibu sekiranya ibu itu tidak mampu. Namun, ia bukan automatik dan memerlukan penetapan serta perintah daripada Mahkamah.

Pandangan popular yang menyatakan "rugi betul jadi wanita, lelaki paling untung sebab boleh lepas tangan" adalah satu salah faham terhadap hikmah di sebalik hukum tersebut.

Hukum anak luar nikah, yang hanya dinasabkan kepada ibu, berkait rapat dengan prinsip Hifz an-Nasl, iaitu menjaga keturunan daripada kekeliruan dan percampuran.

"Hukum ini jauh sekali dikatakan tidak adil dan bukan untuk menzalimi wanita, bahkan selaras dengan Maqasid Syariah, iaitu menjaga keturunan (Hifz an-Nasl). Ia bukan untuk 'melepaskan' lelaki, tetapi untuk memastikan anak tidak dizalimi dengan keturunan yang samar," jelas peguam tersebut.

Jika Islam membenarkan anak luar nikah dibinkan kepada bapa penzina, kekeliruan siapa ayah sebenar akan berlaku, sekali gus merosakkan keturunan yang menjadi asas kepada masyarakat Islam.

Meskipun kelihatan bapa biologi ‘terlepas’ dari segi nafkah, hakikatnya mereka sedang menanggung kerugian besar di sisi Syarak.

Benih itu tidak diiktiraf: Islam menafikan nasab atas benihnya sendiri. Sedangkan anak adalah rezeki besar buat manusia jika lahir dari ikatan yang sah.

Dosa besar kekal: Lelaki dan perempuan sama-sama berdosa besar kerana berzina, dan lelaki itu tetap wajib bertaubat serta boleh dikenakan tindakan jenayah syariah jika ada pengakuan.

Kesan anak tidak dinasabkan kepada bapa:

1. Nama: Anak tidak boleh membawa nama bapa biologinya.

2. Perwarisan: Anak tidak boleh mewarisi dan mewariskan harta pusaka daripada bapa biologi.

3. Nafkah: Bapa biologi tidak wajib memberi nafkah.

Hukum Allah ini mungkin nampak berat kepada wanita kerana menanggung nafkah dan nasab, tetapi ia mengandungi hikmah yang besar:

Mengelakkan mangsa nasab samar: Memastikan anak tidak menjadi mangsa kepada keturunan yang tidak jelas.

Menjaga hak: Memastikan hak mahram dan warisan tidak bercampur.

Menegaskan dosa zina: Menegaskan betapa besar dosa zina dan melindungi masyarakat daripada kerosakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram