Tetap pendirian beli rumah bawah RM300,000, doktor senarai 4 sebab tak galak melabur pada kediaman mahal


  • Hias
  • Khamis, 06 Nov 2025

Rumah mahal bukan aset pelaburan, tetapi beban kewangan yang sukar dijual semula. — Gambar hiasan

DALAM keghairahan anak muda mengejar kediaman moden di lokasi elit, seorang doktor berkongsi pendiriannya yang sangat tegas.

Doktor itu fokus kepada pembelian rumah mampu milik di bawah RM300,000 sahaja, kerana mendakwa rumah mahal bukan aset pelaburan tetapi adalah beban kewangan.

Pendapat itu dikongsikan oleh Dr. Syazwani Jani, yang mendedahkan bahawa beliau tetap berpegang kepada prinsip itu dalam pembelian rumah pertamanya sehingga ketiga.

BACA LAGI: WAO seru semua pihak perangi 'manosfera' demi lindungi ruang digital untuk kaum wanita

BACA LAGI: Sinar baharu buat bayi derita penyakit CDH, rawatan berlian ketika masih janin tingkatkan kadar kelangsungan hidup

Beliau turut menyuarakan kebimbangan melihat ramai rakannya di kawasan mahal seperti Cyberjaya masih terperangkap dalam kitaran menyewa.

"Tak salah menyewa dulu. Tapi biarlah menyewa sambil tunggu rumah yang betul-betul berbaloi. Tengok kawasan, tengok potensi. Tapi kalau dah lebih tiga tahun masih menyewa dan belum ada rumah sendiri, itu dah tanda amaran!" tegas beliau.

Dr. Syazwani menyenaraikan empat sebab utama mengapa beliau tidak menggalakkan pembelian kediaman yang terlalu mahal:

1. Bukan rumah pelaburan, tapi beban: Rumah dengan harga tinggi sering kali tidak memberi pulangan yang sepadan, sebaliknya menjadi beban kewangan jangka panjang.

2. Sukar dijual semula: Proses menjual semula rumah mahal mengambil masa yang lebih lama dan sukar untuk dilepaskan berbanding rumah mampu milik.

3. Aliran tunai negatif: Perlu bersedia untuk pengeluaran wang yang banyak sekurang-kurangnya 10 bulan, terutamanya jika rumah itu dibeli sebagai aset pelaburan.

4. Risiko lebih selamat: Lebih baik membeli rumah pada harga di bawah nilai pasaran kerana ia memerlukan deposit lebih rendah, bayaran bulanan rendah dan risikonya terjamin.

Beliau turut menekankan kepentingan mencari kediaman bawah nilai pasaran untuk memastikan pulangan pelaburan maksimum.

Dr. Syazwani berkongsi contoh sebuah unit pangsapuri di Menara Solstice 1 @ Pan’gaea, Cyberjaya (Saiz 450 kaki persegi, 1 bilik), yang mempunyai nilai pasaran RM250,000 tetapi akan dilelong pada harga RM145,000.

"Untung atas kertas sudah RM155,000! Kalau duduk menyewa di Cyberjaya pada kadar RM2,000, lebih baik rebut peluang rumah ini. Bayaran pinjaman bank mungkin hanya RM1,500, malah boleh dapat aliran tunai positif RM500 lagi," ulasnya.

Menurut beliau, membeli rumah bawah nilai pasaran membuka banyak pilihan, sama ada untuk dijual semula, disewakan sebagai 'homestay' atau didiami sendiri, kerana keuntungan sudah terjamin sejak proses pembelian.

Dr. Syazwani menasihati jangan beli rumah kalau belum pasti harganya betul-betul murah berbanding nilai pasaran kawasan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram