BINTANG bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo akhirnya memberi bayangan akan mengakhiri karier gemilangnya dalam dunia bola sepak bukan kerana faktor usia atau prestasi, tetapi kerana desakan hati dan cinta terhadap keluarganya.
Dalam temu bual bersama hos televisyen, Piers Morgan di Riyadh, bintang berusia 40 tahun itu mengakui sudah bersedia untuk bersara tidak lama lagi.
Walaupun baru menandatangani lanjutan kontrak dua tahun bersama kelab Arab Saudi, Al-Nassr, Ronaldo berkata, keputusannya kini lebih banyak dipengaruhi oleh keluarga, khususnya keinginan untuk berkahwin dengan tunangnya, Georgina Rodríguez.
“Saya rasa masa itu sudah hampir. Ia akan sukar, tentu saya akan menangis.
“Namun saya telah bersedia sejak usia 25 tahun. Saya mahu lebih banyak masa untuk diri sendiri dan keluarga," katanya.
BACA LAGI: Cuaca sangat panas, cuma saya masih mahu beraksi bersama Malaysia — Laikha Macwilson

Ronaldo dan Georgina bersama empat orang cahaya mata mereka yang menjadi pelengkap hidup pasangan itu.
Ronaldo mendedahkan bahawa dua anak perempuannya menjadi pendorong utama dia akhirnya memutuskan untuk melamar Georgina.
“Mereka datang dan berkata, ‘Ayah akan beri cincin itu pada ibu dan ayah akan berkahwin’. Saat itu saya tahu, inilah masanya,” katanya.
Menurutnya, Georgina bukan sekadar ibu kepada anak-anaknya, tetapi cinta sejati dalam hidupnya.
“Dia memahami saya, menjaga saya, keluarga dan rumah. Dia memiliki semua yang saya cari,” tambahnya.
Ronaldo dan Georgina mula berkenalan pada 2016 ketika model Sepanyol itu bekerja di butik Gucci di Madrid.
Pasangan ini kini membesarkan lima anak, termasuk Cristiano Jr yang mula menonjol dalam pasukan bawah-16 Portugal.
Walaupun tiada tarikh rasmi diumumkan, Ronaldo menyatakan majlis perkahwinan mereka akan berlangsung selepas Piala Dunia 2026.
Katanya, Georgina tidak gemar majlis besar-besaran dan lebih selesa dengan suasana yang sederhana serta penuh makna, dikelilingi orang tersayang berbanding kemeriahan glamor.
Selain bola sepak, Ronaldo kini menumpukan masa pada hobi seperti menonton UFC, bermain padel dan mengembangkan jenama CR7.
Baginya, kebahagiaan dan kepuasan peribadi kini lebih penting daripada pencapaian atau kekayaan.
“Saya tak lagi kisah tentang rekod atau wang. Saya hanya mahu bahagia,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
