Dibuang ibu bapa kandung sejak bayi, Haikal tekad kerja di usia 10 tahun demi yuran sekolah adik perempuan


  • Bonda
  • Rabu, 05 Nov 2025

Kisah hidup Haikal telah menarik perhatian rakyat Indonesia yang rata-ratanya meluahkan rasa simpati dan mahu menghulurkan bantuan.

PAHITNYA ditinggalkan ibu bapa sejak bayi tidak mematahkan semangat seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun untuk terus berjuang.

Pengorbanan itu bukan demi dirinya, tetapi untuk memastikan adiknya yang berusia tujuh tahun dapat terus bersekolah.

Walaupun bahunya masih kecil, Haikal kini terpaksa memikul tanggungjawab besar sebagai pengutip sampah setiap kali selepas selesai sesi persekolahan.

BACA LAGI: Penangan konsep lengkungan kreativiti arkitek wanita, kafe Sihojae & Sicha menang reka bentuk terbaik di Korea Selatan

BACA LAGI: Suami pulang kerja luah penat, isteri acuh tak acuh, terus henti mengadu hingga bercerai, lelaki juga perlu 'tempat selamat'

Ini semata-mata untuk mengurangkan beban bapa dan ibu saudara yang memilih untuk menjaga mereka berdua.

Perkongsian tentang Haikal menjadi tular sehinga menyentuh hati jutaan rakyat Indonesia.

Dikenali sebagai Haikal, kanak-kanak itu dilaporkan tidak pernah merasai kasih sayang ibu bapa kandungnya yang telah meninggalkannya semasa bayi.

Walaupun masih bersekolah rendah, Haikal tidak mahu membebankan penjaganya.

Haikal tekad mengutip barang buangan selepas tamat sekolah bagi membantu bapa dan ibu saudara serta menyara adiknya.

Disebabkan itu dia mula mencari rezeki dengan mengikut ibu saudaranya mencari barang buangan sejak berusia enam tahun.

"Setiap kali balik dari sekolah, Haikal akan ikut ibu saudaranya mencari barang-barang terbuang sampai malam. Kadangkala hasilnya hanya cukup untuk makan hari itu. Kalau tak dapat kutip barang, mereka akan makan apa yang ada sahaja," petikan daripada perkongsian viral tersebut.

Walaupun terasa penat, Haikal tetap bersemangat meneruskan pekerjaan itu kerana dia mempunyai sebab yang penting.

"Aku tak nak jadi beban, aku nak bantu mereka," kata Haikal setiap kali ditanya kenapa dia sangat bersemangat.

Haikal gigih berjuang setiap hari demi menyara dan memastikan adiknya dapat terus bersekolah.

Di sebalik kesusahan hidup, Haikal menyimpan impian yang besar, iaitu untuk menjadi seorang tentera satu hari nanti.

Impian itu lahir daripada hasratnya untuk membanggakan bapa, ibu saudara serta adiknya.

Namun, Haikal turut meluahkan kerisauan impiannya mungkin sukar untuk direalisasikan memandangkan keadaan hidupnya yang susah, apatah lagi selepas dibuang oleh ibu bapa kandung.

Kisah hidup Haikal telah menarik perhatian rakyat Indonesia yang rata-ratanya meluahkan rasa simpati dan mahu menghulurkan bantuan.

Seorang pempengaruh Indonesia, Aditya Yudha, turut terpanggil untuk mencari Haikal bagi menghulurkan bantuan dan meninggalkan komen di laman sosial.

"Kalau nak jumpa anak ini dekat mana ya? Mohon bantuan untuk bagi info, terima kasih. Semoga ALLAH jaga kamu adik, amin ya rab."

Selain tawaran bantuan, ada juga warganet yang mendoakan Haikal dan menyatakan hasrat untuk mengambilnya sebagai anak angkat.

"Nak tak anak-anak itu tinggal dengan saya," ujar Ria Kurniawan.

Warganet lain pula mengesahkan lokasi Haikal berada di kawasan Jambi, Indonesia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram