'Ibu terlampau rajin tak bagus untuk anak membesar', 'parental coach' anggap sesekali perlu bermalas-malasan supaya mereka belajar 'survive' sendiri


  • Bonda
  • Khamis, 06 Nov 2025

Latihan yang ibu bapa ajarkan sejak kecil mendorong anak kecil tidak terlalu bergantung kepada ibu bapa. — Gambar Hiasan

RAMAI menyangka ibu yang rajin adalah lambang keibuan sempurna, namun pandangan seorang jurulatih keibubapaan, Mohd Fhais Salim baru-baru ini mengubah persepsi itu apabila beliau menegaskan bahawa ibu yang terlalu rajin sebenarnya tidak bagus untuk anak-anak yang sedang membesar.

Dalam hantaran di Threads, beliau menjelaskan bahawa apabila ibu terlalu banyak membantu, anak-anak tidak berpeluang belajar berdikari atau mengurus diri sendiri.

“Ada kala ibu kena malas-malas sedikit supaya anak tu belajar survive sendiri,” tulisnya.

BACA LAGI: Cuaca sangat panas, cuma saya masih mahu beraksi bersama Malaysia — Laikha Macwilson

BACA LAGI: 'Saya dilahirkan di England tetapi berdarah warisan Malaysia', adik Zahirah Macwilson muncul jurulatih bola sepak terbaik di Australia

Menurutnya, anak perlu dibiasakan melakukan tugasan harian seperti membasuh pinggan, membuat air minuman, melipat baju, menyiapkan kerja sekolah dan menjaga adik-adik.

Tambahnya, semua ini penting untuk membentuk sikap bertanggungjawab serta melatih anak mengurus kehidupan sejak kecil iaitu sebahagian daripada proses pembangunan modal insan.

Pandangan itu menarik perhatian ramai ibu bapa yang rata-rata bersetuju dan berkongsi pengalaman masing-masing.

Amalina Amir berkata, dia mula melatih anak-anaknya berdikari sejak usia tujuh tahun.

“Anak saya waktu usia sebegitu saya dah ajar masak nasi, guna air fryer goreng kentang, basuh baju guna mesin basuh. Anak lelaki dan perempuan saya ajar sama-sama,” katanya.

Ibu bapa perlu melatih anak untuk melakukan kerja rumah agar terbiasa mengurus diri sendiri. — Gambar Hiasan

Walaupun pada awalnya bimbang, katanya, kini anak-anak yang berumur 17 dan 11 tahun sudah mampu menguruskan banyak perkara sendiri seperti menyusun buku dan menggosok pakaian.

Sementara itu, Eyfa Epa pula beranggapan suaminya menjadi contoh utama untuk anak-anak mereka.

“Anak saya enam tahun ikut apa ayah dia buat. Kalau ayah dia buat air, kemas rumah, anak pun nak buat sama. Saya pun rasa ringan sebab dua beranak ni dah pandai bantu,” katanya.

Bagi Nurul Suhada pula, ada ibu bapa terlalu bimbang untuk membiarkan anak melakukan hal sendirian sehingga akhirnya anak tidak tahu mengurus diri.

“Sampai umur 16 tahun pun ada yang tak tahu gosok baju sendiri, masak pun tak pandai. Nak sayang anak biar berpada, nanti mereka sendiri yang susah,” katanya.

Bukan soal malas, tapi beri peluang anak belajar

Isu yang dibangkitkan Fhais bukan untuk menyuruh ibu bapa malas, tetapi mengingatkan pentingnya memberi peluang kepada anak mencuba dan belajar sendiri, walaupun hasilnya tidak sempurna.

Memberi ruang untuk anak melakukan kesilapan, menurutnya, membantu mereka menjadi lebih yakin, berdikari dan bertanggungjawab. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram