Bidikan lensa kamera ubah hidup 3 wanita muda, dari biasa-biasa jadi 'luar biasa'


  • Relaks
  • Isnin, 14 Apr 2025

(Dari kiri) Maleesha, Meen dan Anok dahulunya menjalani kehidupan biasa jauh daripada populariti.

KITA pasti biasa dengar peribahasa ‘durian runtuh’ yang menggambarkan keuntungan datang secara tiba-tiba.

Dalam dunia fesyen dan kecantikan, jurugambar memainkan peranan penting dalam membuka peluang besar baik untuk jenama, produk mahupun individu.

Inilah yang berlaku terhadap Maleesha Kharwa, Meen dan Anok Yai, sebelum ini hanyalah seseorang menjalani kehidupan biasa, jauh daripada kemewahan dan populariti. Bagaimanapun, dengan hanya sekeping gambar, hidup mereka berubah apabila muncul di muka depan majalah fesyen dan beberapa kempen jenama terkemuka.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Jangan bawa anak keluar 'shopping', mesti pakai bengkung', Nona Roguy kongsi 3 petua tradisional buat ibu berpantang

BACA LAGI: Join Muay Thai nak kurus, kini jadi jurulatih, buka gim seni bela diri untuk wanita

Maleesha giat memperjuangkan komuniti kurang berkemampuan dan berusaha memberikan yang terbaik untuk ahli keluarganya. — Agensi

1. Maleesha Kharwa

Daripada seorang gadis muda dari kawasan setinggan di Mumbai, India kini beliau merupakan model dan pempengaruh sedang meningkat naik.

Perubahan hidup remaja berusia 17 tahun itu berlaku selepas pelakon Amerika Syarikat (AS), Robert Hoffman menemuinya pada 2020 lalu menjadi ejen beliau, sekali gus melancarkan kempen GoFundMe untuk menyokong pendidikan dan kerjaya Maleesha.

Ia susulan Hoffman merakam video Maleesha sedang duduk di atas tilam di dalam khemah yang dijadikan rumah dekat kawasan setinggan. Video tersebut tular dan rata-rata warga maya memuji kecantikan mata dan senyuman dimilikinya.

Momen manis dan pertama buat Maleesha apabila muncul muka depan Revue de Paon, seterusnya dalam dokumentari Live Your Fairytale. Akhirnya, daripada kanak-kanak comot dan tidak berkemampuan, beliau mengalami transformasi dari segi penampilan, tata rias wajah dan mampu menjana pendapatan lumayan untuk menyara keluarga.

Selain model, Maleesha juga memperjuangkan komuniti kurang berkemampuan dan sentiasa bekerja keras untuk memberikan yang terbaik dan keselesaan untuk keluarganya.

Meen kini digelar sebagai 'tukang cuci terkenal Thailand'. — Nong Chat

2. Meen

Situasi hampir serupa turut dialami oleh Meen, 28, seorang tukang cuci jalanan di Bangkok, Thailand yang kini bergelar model kecantikan.

Perubahan luar biasa itu bermula apabila seorang jurugambar dari Rusia menemui ibu tunggal kepada dua orang anak tersebut ketika beliau sedang bekerja.

Kecantikan unik dimiliki menarik perhatian jurugambar itu sehingga foto dan videonya tular lalu dicari oleh jurusolek terkenal, Nong Chat.

Sejak itu, Meen menjadi model untuk jenama kosmetik, Browit milik jurusolek berkenaan dan difahamkan sedang berbincang dengan beberapa syarikat lain.

Susulan itu, beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan pekerjaannya sebagai tukang sapu untuk menjadi model sepenuh masa.

3. Anok Yai

Dalam kisah Anok Yai pula semuanya bermula apabila pelajar jurusan biokimia daripada Universiti Plymouth State menghadiri sebuah acara keramaian di Howard University, AS.

Sekeping fotonya yang dirakam seorang jurugambar pada acara tersebut membuka ruang dan peluang buat wanita kelahiran Mesir itu ditawarkan kontrak bersama agensi model terbesar.

Gambar Anok yang tular turut mendapat perhatian figura berpengaruh dalam dunia peragaan, Kyle Hagler.

Menurut Presiden Next Management, Anok memiliki sesuatu yang sangat istimewa, selain kecantikan dan mempunyai pandangan luas tentang kehidupan dan masyarakat sekeliling.

Pada 2018, beliau yang merupakan warganegara AS menandatangani kontrak dengan Next Models dan memperoleh kontrak dengan Estée Lauder.

Beliau kemudiannya menjadi wanita kulit hitam kedua membuka pertunjukan fesyen Prada sejak Naomi Campbell pada 1997. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram