CINTA zaman dahulu dan kini ibarat dua dunia berbeza. Cara berkenalan, bercinta, malah cita-cita dalam percintaan berubah seiring zaman.
Dalam satu penulisan, seorang jurulatih temu janji dan pengasas A Little Nudge di Amerika Syarikat, Erika Ettin berkongsi kisah peribadi ketika berkunjung ke rumah ibu bapanya sempena Hari Kesyukuran tahun lalu.
Sebagai anak, dia mengambil peluang itu untuk menemu bual ibu bapanya tentang kisah cinta mereka sempena ulang tahun perkahwinan ke-45 pasangan itu.
“Saya ingin tahu bagaimana dunia percintaan berbeza dahulu dan sekarang. Adakah lebih mudah atau sebaliknya?” katanya.

Dalam proses mengenali seseorang, ramai yang terperangkap mencari kesempurnaan. — Gambar Hiasan
Menariknya, kedua-dua ibu bapanya sependapat iaitu bercinta dahulu sebenarnya lebih mudah daripada sekarang.
Dari pandangan mereka, cinta zaman dahulu lebih mudah dengan cara jumpa, jatuh cinta lalu berkahwin.
Pada zaman ibu bapanya, hubungan sering bermula secara semula jadi iaitu bersama jiran satu pangsapuri, rakan sekerja atau dikenalkan oleh teman rapat.
Prosesnya jelas iaitu bertemu, bercinta, berkahwin, kemudian berkeluarga.
Tiada aplikasi, tiada algoritma, tiada 'swipe right'. Cinta hadir dengan kesungguhan dan niat untuk kekal.
Namun hari ini, walaupun peluang bertemu pasangan lebih luas menerusi platform dalam talian seperti Bumble atau Tinder, proses bercinta menjadi lebih rumit.
"Sekarang ramai yang mencari pasangan dengan niat berbeza. Ada yang mahu berkahwin, ada pula hanya mahu ‘berseronok’ selepas putus cinta.
"Dalam dunia yang penuh pilihan ini, niat dan kejujuran menjadi semakin kabur,” jelas Erika.
Terlalu banyak pilihan, terlalu sedikit kepastian
Erika turut mengaitkan tindakan ini dengan konsep 'paradoks pilihan' oleh Barry Schwartz iaitu semakin banyak pilihan, semakin besar rasa tidak puas hati.
Katanya, ramai individu moden terperangkap dalam dilema mencari yang sempurna sehingga terlupa bahawa kesempurnaan bukanlah asas cinta sejati.
“Saya lihat klien saya kerap menolak calon yang hampir memenuhi semua ciri yang diingini kerana masih berharap menemukan seseorang yang 100 peratus ideal. Tetapi adakah itu realistik?” katanya sambil mengingatkan bahawa rumput di sebelah sana tidak semestinya lebih hijau, malah kadang-kadang lebih layu.
Erika menegaskan bahawa tiada generasi yang benar-benar ‘lebih baik’ dalam hal bercinta, kerana setiap zaman membawa cabaran dan keindahannya tersendiri.
Namun satu perkara pasti ialah cinta akan terus berevolusi.
“Lima puluh tahun akan datang, mungkin cucu-cucu kita akan mentertawakan idea ‘swipe’ untuk mencari pasangan. Siapa tahu, mungkin nanti algoritma akan menentukan jodoh kita,” katanya.
Biarpun dunia berubah, mesej Erika cukup jelas iaitu cinta sejati tidak pernah ketinggalan zaman.
“Selamat ulang tahun perkahwinan, Mama dan Papa. Terima kasih kerana mengajar saya bahawa cinta sejati bukan tentang mencari yang sempurna, tapi tentang memilih untuk kekal bersama walau apa pun kekurangannya," kata Erika. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
