Tiap hari cari silap anak, tetapi tetap ucap 'sayang ayah', si bapa baru sedar tidak hargai amanah ALLAH


  • Bonda
  • Rabu, 05 Nov 2025

Seorang bapa menyesal kerana terlalu kerap memarahi anak-anaknya sehingga terlupa menunjukkan kasih sayang. — Gambar Hiasan

KADANGKALA, satu pelukan kecil sudah cukup untuk menumbangkan dinding ego seorang ayah.

Itulah yang cuba disampaikan oleh Marn Ali dalam hantaran Facebooknya yang kini tular iaitu kisah ringkas tetapi cukup menikam perasaan tentang seorang bapa yang akhirnya sedar, kasih lebih bermakna daripada marah.

Marn berkata, perbualannya dengan seorang rakan lama berubah menjadi sesi luahan hati tentang penyesalan seorang ayah.

BACA LAGI: 'Beli powerbank mahal ingatkan selamat', wanita trauma alat dicas tiba-tiba meletup macam bom, lengan melecur

BACA LAGI: 'Bagi mereka kawan hidup, bukan kawan ada bateri', elak anak pegang gajet, bapa kongsi solusi ‘rare’, bela musang pandan

Seorang bapa akhirnya tersedar bahawa memberi kasih sayang dengan sebaiknya lebih bermakna daripada kerap memarahi anaknya. — Gambar Hiasan

Dulu, katanya, setiap pagi terasa seperti medan perang. Anak makan laju dikata gelojoh, tertumpah susu dibebel cuai, malah sapu mentega tebal pun dikata tamak.

Namun, di sebalik kemarahan itu, anak kecilnya tetap menghulurkan tangan dan senyum sebelum ke sekolah seolah-olah tidak pernah menyimpan luka.

Sampailah pada suatu pagi, tanpa diduga, si anak datang dari belakang, memeluk leher ayahnya dan berbisik lembut perkataan, “Sayang ayah.”

Saat itu dunia seakan terhenti. Nafasnya tersekat, dada terasa berat dan buat pertama kali dia sedar bahawa semua jeritan dan marahnya tidak pernah membawa apa-apa makna, selain menjauhkan kasih yang sepatutnya mendekatkan.

“Hari ini rumah kita riuh rendah dengan tawa anak-anak. Tapi esok, rumah yang sama akan sunyi. Sebelum hari itu tiba, belajarlah menahan marah, bercakap dengan lembut dan menghargai setiap saat yang ada,” tulis Marn.

Menjengah ke ruangan komen, hantaran itu membuatkan ramai ibu bapa lain tersentuh apabila membacanya. 

Seorang warga maya, Dak Kolin Dak Kosi yang melalui perhubungan jarak jauh (PJJ) dengan keluarga mula terkenang anak dan isterinya. 

“Sy PJJ dengan keluarga. Bila baca cerita ini, berlinang air mata saya terbayang wajah mereka. Tapi apa kan daya, saya mencari rezeki. Kalau ada rezeki, nak kerja dekat dengan keluarga," katanya. 

Muhammad Haikal pula mengingatkan para ibu bapa agar menjaga anak-anak dengan sebaiknya kerana tidak semua pasangan mendapat kurniaan besar daripada Tuhan itu. 

“Kadang-kadang kita terlupa anak adalah amanah daripada ALLAH," katanya. 

Sementara itu, bapa lain, Asrul Akmal mengaku bahawa anak-anak semakin menjauh apabila meningkat usia dan kenangan semasa kecil itu kini hanya tinggal rindu yang sukar diganti.

“Masa mereka belum masuk sekolah rendah, kita baru sampai rumah mereka dah tunggu di pintu grill sambil jerit ‘abah balik yay!’ Tapi bila dah besar, semua tu hilang… mereka dah ada dunia sendiri," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram