DETIK cemas tercetus di sebuah kediaman apabila powerbank milik seorang wanita tiba-tiba meletup ketika sedang dicas di dalam bilik tidur sehingga menyebabkan kebakaran kecil dan kecederaan melecur pada bahagian lengan.
Mangsa, Nurul Najihah berkongsi pengalaman mencemaskan itu di Facebook dengan memuat naik beberapa keping gambar yang menunjukkan kerusi, peralatan dan karpetnya hangus terbakar akibat letupan.
Katanya, kejadian berlaku sekitar pukul 2 petang ketika dia sedang mengecas powerbank yang diletakkan bersebelahan mesin pencetak (printer) di atas karpet putih.
“Saya tengok bateri powerbank tinggal 70 peratus, jadi saya sambung caj nak bagi penuh. Tak sampai 15 minit, saya dengar bunyi kuat macam bom dan nampak api warna merah oren keluar,” katanya.
BACA LAGI: 'Kekayaan hakiki bukan harta, tapi saham akhirat', Norish Karman didik 8 anak cintakan ilmu agama
BACA LAGI: Ada yang kena penyakit kulit, hampir berpisah, Mufti Terengganu jelaskan punca dugaan 'darah manis'
Nurul berkata, dia panik apabila melihat api marak berdekatan tempat duduknya, namun sempat menenangkan diri dan bertindak pantas memadamkan api.
“Masa tu saya tengah duduk atas kerusi. Lengan saya pun terkena api sampai melecur sedikit. Saya cepat-cepat ambil kain basah dan sebaldi air sebab bilik air memang dalam bilik. Kalau jauh, mungkin api dah merebak,” katanya.

Malang tidak berbau, powerbank yang sedang dicas ada kebarangkalian mengundang kebakaran.
Tambahnya, walaupun kesakitan akibat luka melecur, dia tidak sempat memikirkan hal lain selain menyelamatkan diri dan memadamkan kebakaran.
“Saya tak fikir dah pasal diri. Api makin besar, jadi saya lawan rasa panik itu. Lepas api padam baru saya tutup semua suis plug guna kain kering,” katanya.
Menurutnya lagi, powerbank berharga sekitar RM70 hingga RM100 itu telah digunakan sejak tahun 2022 dan dipercayai meletup disebabkan faktor usia, suhu panas atau lokasi pengecasan yang tidak sesuai.
“Saya letak atas karpet, mungkin sebab tu cepat panas. Pengajaran untuk saya dan semua... jangan caj atas permukaan menyerap haba, jangan overcas dan pastikan peranti dalam keadaan baik,” ujarnya.
Nurul turut memaklumkan bajunya terkoyak akibat terkena percikan api sehingga kini dia menjadi trauma untuk menggunakan sebarang powerbank.
“Saya dah tak berani. Kalau caj telefon pun, saya duduk depan sebab takut keluar api lagi,” luahnya.
Perkongsiannya tular di Facebook dan menerima pelbagai reaksi pengguna lain yang berkongsi kebimbangan sama.
“Risau dengarnya… powerbank saya pun dah kembung tapi susah nak cari pengganti," kata Myung Hee.
“Alamak, sebijik saya punya… takutnya," kata Wanie Hadif. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
