Bapa pilih hidup sendirian lebih 12 tahun, kerap habiskan masa lama di pusara arwah isteri melepas rindu


  • Cinta
  • Khamis, 06 Nov 2025

Lelaki itu tetap teguh dengan pendiriannya iaitu tidak ingin menggantikan tempat wanita yang telah pergi. —  Gambar Hiasan

CINTA sejati tidak selalu ditunjukkan dengan kata-kata, tetapi melalui kesetiaan yang tidak goyah walau masa berlalu. 

Begitulah kisah menyentuh hati seorang bapa yang diceritakan oleh anaknya, Anas Abu Amsyar dalam satu hantaran di Facebook baru-baru ini.

Sudah 12 tahun bapanya hidup bersendirian selepas kehilangan isteri tercinta.

Walau ramai yang cuba mencarikan pengganti, lelaki itu tetap teguh dengan pendiriannya iaitu tidak ingin menggantikan tempat wanita yang telah pergi.

“Sejak mama pergi, hidup abah macam kosong separuh. Dia tetap tersenyum, tapi kami tahu dalam hati dia ada ruang yang tak pernah terisi,” tulis Anas dalam hantaran itu.

BACA LAGI: 'Kekayaan hakiki bukan harta, tapi saham akhirat', Norish Karman didik 8 anak cintakan ilmu agama

BACA LAGI: Ada yang kena penyakit kulit, hampir berpisah, Mufti Terengganu jelaskan punca dugaan 'darah manis'

Bapanya bukan lelaki yang gemar meluahkan perasaan. Tiada kata sayang di bibir, tiada luahan rindu di depan anak-anak.

Namun tindakan kecilnya sudah cukup menggambarkan segalanya.

Anas berkata, setiap kali rindu datang bertamu, bapanya akan pergi sendirian ke pusara arwah isterinya. Duduk lama di situ, tanpa kata, tanpa air mata iaitu hanya diam yang sarat dengan kenangan.

Di rumah pula, dia sering membuka gambar arwah di telefon, merenung lama sebelum cepat-cepat menutupnya apabila anak-anak melintas.

“Kami tahu, itu bukan sekadar rindu. Itu cinta yang masih hidup, walaupun jasad sudah tiada,” kata Anas.

Walaupun ada keluarga dan sahabat yang menawarkan calon isteri baharu, bapanya menolak dengan lembut.

“Tak payah. Dah biasa sendiri. Dah cukup dengan kenangan yang ada,” katanya.

Anas dan adik-beradik tidak pernah menghalang, malah mereka menyokong jika bapanya ingin berkahwin lagi.

Namun bagi lelaki itu, cintanya sudah berlabuh pada satu nama iaitu wanita yang pernah menemaninya separuh usia.

Pernah suatu ketika bapanya tinggal bersama anak sulung di bandar, tetapi dia kelihatan tidak tenang. Apabila ditanya, dia hanya berkata rindu suasana kampung.

Namun anak-anak tahu, yang dirindukannya bukan sekadar rumah, tetapi tanah yang menyimpan jasad isterinya.

Kini, di usia senja, bapanya menjalani hari-hari dengan tenang. Setiap lawak dan senyum yang dilemparkan menyembunyikan rindu yang tak pernah padam.

Cintanya tidak bersuara, tetapi nyata iaitu hidup dalam setiap langkah, doa dan ingatan.

Menjengah di ruangan komen, ramai yang berkongsi pengalaman mereka sendiri, menzahirkan betapa cinta dan kesetiaan tidak pernah pudar walau kematian memisahkan.

Antaranya, Omar Mukhtar menganggap seorang suami yang menghargai kasih dan pengorbanan isterinya tidak mudah melupakan budi:

“Bila seorang isteri memainkan peranan dengan penuh tanggungjawab dan kasih, amat sukar bagi suami melupakan budi isterinya. Setialah dia sampai akhir hayat," katanya. 

Noralizawati Ahmad Dealova pula menceritakan kisah ayahnya yang hampir setiap hari menziarahi pusara arwah ibunya, kerana tiada yang mampu menggantikannya. 

“Arwah abah saya juga begitu. Hampir setiap hari ziarah kubur arwah mak. Katanya, walau mak selalu sakit, takkan sama dengan mak. Itu cinta akhir hayat mereka," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram