FASA pertunangan sering digambarkan sebagai masa paling indah dalam hubungan cinta iaitu saat dua hati mula merancang masa depan bersama.
Namun bagi segelintir pasangan, tempoh itu juga menjadi antara detik paling mencabar apabila muncul pelbagai dugaan yang sukar dijangka.
Di laman Threads, beberapa pengguna berkongsi pengalaman peribadi melalui ujian 'darah manis'.
BACA LAGI: Siang sempat keluar makan bersama, malam suami dijemput Ilahi, tak sempat tatap wajah anak sulung
Seorang lelaki, Muhammad Nursyam berkata, dia tidak pernah percaya dengan istilah itu sehinggalah mengalami sendiri deretan insiden menjelang majlis pertunangannya.
“Sejak kecil saya tak percaya benda ni, tetapi dua minggu sebelum bertunang saya kemalangan kereta, kemudian motor, lepas tu jatuh sewaktu turun lapan anak tangga. Baru saya tahu, mungkin ini yang orang kata darah manis," katanya.
Bagi Melkamarulzaman, dugaan datang dalam bentuk penyakit kulit misteri.
“Saya tengah darah manis sekarang. Tiba-tiba kena sakit kulit tapi tempat tertentu saja. Dah jumpa doktor, banyak andaian. Doa-doakan saya cepat sembuh,” tulisnya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, Manis masuk ke hospital selepas bertunang.
“Sehari lepas tunang, tayar kereta meletup. Seminggu kemudian, saya pula masuk wad sebab Hb drop sampai red zone. Banyak sangat ujian, tapi saya percaya semua ni ada hikmah.”
Manakala Haiza Shazleen mengakui pernah hampir membatalkan majlis perkahwinan kerana tekanan bertimpa-timpa.
“Memang betul. Banyak ujian datang masa nak dekat majlis. Sampai rasa nak putus tunang, tapi adik paksa teruskan, katanya jangan layan hasutan syaitan," katanya.
Menjelaskan mengenai isu ini, Mufti Terengganu, Datuk Dr. Mohamad Sabri Haron menegaskan bahawa ujian sebelum berkahwin adalah sesuatu yang selari dengan fitrah kehidupan manusia.
“Dalam Islam, Tuhan memang akan uji manusia dengan pelbagai cara. Antara ujian itu datang dalam bentuk perkahwinan, sebab syaitan sangat kecewa bila seseorang mendirikan rumah tangga. Maka dia akan berusaha menggagalkan perkahwinan atau meruntuhkan yang sudah terbina,” jelasnya.
Tambah beliau, dalam tempoh itu, syaitan akan cuba menimbulkan keraguan, salah faham dan rasa putus asa dalam diri antara satu sama lain (pasangan) yang sedang membuat persiapan.
“Bila seseorang nak bina ‘masjid’, syaitan akan cari jalan untuk sabotaj supaya perkahwinan tak jadi. Dan kalau dah kahwin, dia cuba pula rosakkan rumah tangga itu," katanya.
Sebagai panduan, Dr. Sabri menasihatkan pasangan agar memperkukuh hubungan dengan Allah sebagai benteng menghadapi ujian.
“Kena banyakkan berdoa dan jaga solat. Solat itu doa yang paling kuat. Kena belajar ilmu asas rumah tangga, tanggungjawab suami isteri dan amalkan baca al-Quran.
"Kadang manusia ni leka dengan urusan dunia, padahal ibadah itu yang akan lindungi mereka," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
